Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 19 Mac 2020 – Timbalan Menteri Kewangan II, YB. En Mohd Shahar Abdullah melakukan kunjungan hormat keatas pemimpin utama Negeri Pahang bagi memperkemaskan lagi perancangan kementerian itu agar lebih tersusun.
Beliau mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan beberapa barisan pemimpin negeri di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Katanya, pertemuan itu penting bagi memastikan perancangan pihak Kementerian Kewangan dapat memenuhi kehendak dan keperluan negeri secara lebih terperinci.
“Tujuan saya adalah untuk bertemu dengan pemimpin negeri bagi mendapatkan pandangan dan input yang mungkin boleh pastikan segala perancangan di peringkat Kementerian Kewangan memenuhi citarasa setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas melakukan kunjungan hormat keatas YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy di sini hari ini.
Tambahnya, setiap keperluan negeri adalah berbeza mengikut keperluan masing-masing jadi adalah penting bagi Kementerian Kewangan untuk mengadakan perbincangan awal dan turun padang bagi mengenalpasti setiap keperluan tersebut.
Justeru beliau berharap usaha tersebut akan mendapat maklum balas positif daripada pimpinan negeri dalam usaha merakyatkan ekonomi Malaysia.
“Bagaimana suara-suara mereka ini harus diangkat, didengari dan dipertimbangkan di peringkat kementerian dan akhirnya dapat diterjemahkan kepada kehendak rakyat di negeri itu sendiri, yang paling penting kita nak merakyatkan ekonomi negara,” katanya. – PAHANGMEDIA