Yayasan Pahang Bantu Pelajar Kurang Berkemampuan Cemerlang Akademik

Antara penerima anugerah pada Majlis Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) dan Kolej Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur

Fansurina Abdullah

KUANTAN : Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) sentiasa komited dalam memberikan sebarang bantuan kepada pelajarnya dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang.

Naib Canselor UCYP, YH. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin berkata, pihaknya sentiasa berusaha keras bagi melahirkan pelajar yang seimbang dalam akademik dan kokurikulum.

“UCYP sentiasa bersedia untuk membantu mana-mana pelajar dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang.

“UCYP juga sentiasa menghargai setiap pelajar sama ada mereka yang mengharumkan nama UCYP dalam bidang akademik mahu pun kokurikulum kerana kedua-duanya mempunyai nilai yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) dan Kolej Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur di sini semalam.

Seramai 423 pelajar Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) menerima anugerah masing-masing di Kompleks Yayasan Pahang.

Sementara itu, kesusahan keluarga bukan halangan buat pelajar Orang Asli, Julia Ng Yin Fong Ng Thean Fatt, 22, untuk menggapai impian kecemerlangan dalam akademik.

Dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan, pelajar berusia 22 tahun yang turut menerima biasiswa Yayasan Pahang (YP) itu membuktikan, anak penoreh getah juga mampu memperoleh kecemerlangan dalam akademik.

Katanya, sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, dia tidak pernah mengambil kesempatan meminta duit daripada ibu bapa sewenang-wenangnya, sebaliknya melakukan kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan harian.

“Saya membersihkan rumah, bekerja di kedai dobi dan restoran bagi menampung kos perbelanjaan seharian saya di sini kerana tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah di Muadzam Shah, Rompin,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima biasiswa YP yang turut memperoleh CGPA 4.0, Putri Nur Shaffiera Abdullah, 20, merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda bagi membantu keluarga kerana hanya ayah saya bekerja membaiki paip untuk menyara keluarga,” katanya.

Pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Institusi Islam itu berkata, dia kini sedang menjalani latihan praktikal selama empat bulan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Temerloh.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: