YAB MENTERI BESAR RASA SEDIH ATAS KEHILANGAN RAKYAT PAHANG DALAM KEJADIAN BANJIR

KUANTAN, 7 JANUARI 2021: Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa belas ehsannya serta ucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa banjir khususnya yang membabitkan kematian.

Beliau berpesan agar rakyat terutama yang tinggal di kawasan-kawasan dilanda banjir di negeri ini, supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati bagi mengelak kemalangan apatah lagi membabitkan kematian.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turun pandang untuk melihat sendiri keadaan banjir yang melanda Pahang.

“Saya turut berasa sedih dan ucapkan takziah kepada keluarga mangsa khususnya yang meninggal dunia akibat banjir.

“Kepada penduduk di kawasan-kawasan terbabit banjir, saya harap dapat sentiasa waspada dan hati-hati agar kemalangan tidak berlaku terutamanya yang menyebabkan ajal, kematian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut rekod sehingga kini, banjir besar yang melanda 10 daripada 11 daerah negeri ini (kecuali Cameron Highlands) bermula 2 Januari lalu telah meragut lima nyawa.

Mangsa pertama ditemukan ialah Allahyarham Zulkarnain Hitam, 58, susulan kejadian malam Ahad, 3 Januari, dihanyutkan air di Sungai Puas, Kampung Gintong, Jerantut dan dilaporkan lemas awal pagi Isnin, 4 Januari.

Anak lelakinya, Allahyarham Ukai Iskandar, 23, yang turut terbabit kejadian sama, hanya ditemukan kira-kira tiga hari kemudian pada pagi Rabu, 6 Januari manakala dua anaknya yang turut terbabit iaitu Umar Iskandar, 15, dan Usyair Iskandar, 13, terselamat.

Allahyarham Mohd Roslihisamsudin Suliman @ Atan, 43, pula ditemukan lemas setelah tergelincir di Sungai Maranggis, Kampung Bak-Bak, Maran pada kejadian Selasa, 5 Januari semasa terlibat dalam oparesi membantu penduduk setempat menghadapi banjir.

Allahyarhamah Rozi Umar, 52, pula ditemukan lemas pagi Selasa, 5 Januari di Sungai Jelai berhampiran jambatan gantung Kampung Bertang, Sungai Koyan, Lipis setelah bot dinaiki terbalik sebelum dibawa arus pada kejadian sehari sebelumnya, Isnin, 4 Januari.

Anak perempuannya, Zakirah, 19, yang turut bersama ketika kejadian, belum ditemukan. Suami Allahyarhamah Rozi, Encik Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan seorang lagi anak perempuan, Nur Aina, 21, yang turut bersama ketika kejadian, terselamat.

Mangsa kelima, Allahyarham Isyraf Mohamad, 41, pula menemui ajal pada kejadian Selasa, 5 Januari, setelah terkena renjatan elektrik akibat memegang tiang besi semasa meninjau keadaan banjir di hadapan rumahnya di Kampung Paya Kechik, Temerloh.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,247 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download