Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim
KUANTAN, 22 SEPTEMBER 2020: Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Belgium di Malaysia, H.E. Pascal Hubert Gregoire di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Kunjungan duta berkenaan diiringi Penasihat Undang-Undang dan Ekonomi Kedutaan Belgium, Encik Tey Jun Run.
Kehadiran kedua-dua tetamu tersebut turut menerima sambutan daripada YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Shamsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.
Pada pertemuan secara santai lebih kurang satu jam itu, berlangsungnya taklimat ringkas berkenaan perkembangan ekonomi, industri, pertanian serta peluang-peluang pelaburan di negeri ini. -PAHANGMEDIA