Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 18 OKTOBER 2020: Tiada kata yang mampu diungkapkan oleh seorang warga emas, Sayuti Mohamad, 82, selain hanya rasa terharu dan gembira apabila menerima sumbangan daripada Kerajaan Pahang.
Bekas Imam Masjid Nenasi itu menerima sumbangan kerusi roda dan kewangan daripada Kerajaan Pahang yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Warga emas itu ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) mengucapkan rasa syukur kerana dipilih untuk menerima bantuan Kerajaan Pahang.
“Dengan sumbangan ini sedikit sebanyak ia dapat menampung perbelajaan harian saya. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban perbelanjaan saya sekeluarga.
“Malah dengan sumbangan kerusi roda ini juga, ia sedikit sebanyak memudahkan saya dan keluarga untuk melakukan aktiviti harian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nenasi.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Haji Abdul Rahman Mohamad, 77, amat
bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan berterusan yang diberikan melalui
wakil rakyat di kawasan Bebar.
“Kehadiran wakil rakyat menyampaikan sendiri sumbangan dan bertanya khabar
amat saya hargai apatah lagi sakit yang dialami membuatkan saya tidak lagi mampu
bekerja seperti biasa.
“Saya dan keluarga mensyukuri segala bantuan dan kemudahan yang dinikmati
hasil daripada kepimpinan kerajaan terutamanya Kerajaan Pahang yang sedia ada,”
katanya yang juga bekas Ketua Kampung Nenasi Darat. – PAHANGMEDIA
257 total views