Encik Shaikh Ramly Sheikh Ahmad, 78, dari Kampung Kertau ketika ditemui Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin yang menziarahinya, semalam.

WARGA EMAS NAFI JALAN KAKI 35 KILOMETER UNTUK AMBIL VAKSIN

Oleh: Fairus Mohd

MARAN, 16 JULAI 2021 : Warga emas yang tular kononnya berjalan sejauh 35 kilometer untuk mendapatkan vaksin COVID-19 di Program Mobilisasi Vaksin Komuniti di Klinik Kesihatan Kuala Wau menafikan dia berjalan kaki sejauh itu.

Encik Shaikh Ramly Sheikh Ahmad, 78, dari Kampung Kertau berkata, dia menumpang penduduk kampung dan dan hanya berjalan kaki (separuh jalan) ketika ditemui individu yang menumpangkannya, kelmarin.

Beliau mengakui hal berkenaan ketika ditemui Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin yang sempat menziarahinya, semalam.

Katanya lagi, dia pergi mendapatkan vaksin dengan rela hati walaupun pada bulan Jun lalu sudah dapat tarikh (untuk divaksin) tetapi enggan berbuat demikian kerana takut.

“Memang bulan enam dah panggil (cucuk vaksin) tapi hati sendiri tak nok (tak mahu) pergi.. tapi diaorang kabo (cakap) kempen dalam berita tu aih tak sakit mana sangat, serupa kena gigit peringat (serangga penyengat) je,” katanya.

Warga emas berkenan turut mengaku memang suka berjalan kaki ke mana-mana sahaja yang dia ingin pergi tetapi pada musim COVID-19 ini dia tidak dapat berbuat demikian.

Katanya lagi, dia dinasihati agar pergi ke Klinik Pekan Tajau (lebih dekat) untuk mendapatkan vaksin tetapi memilih untuk pergi ke Klinik Kesihatan Kuala Wau kerana ingin berjalan.

Sementara itu, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza mengingatkan orang ramai terutamanya penduduk setempat yang memerlukan bantuan agar mendapatkan khidmat yang disediakan di setiap kawasan.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Pembangunan Wanita Pahang juga ada sediakan khidmat pengangkutan percuma di seluruh daerah dan parlimen di negeri ini melalui Program Suri Prihatin COVID-19,” katanya.

Jika di daerah Maran sendiri, penduduk boleh berhubung dengan Puan Hajah Noramiwati Harith (019-9877765/Maran) Puan Noor Zalila Binti Ahmad (013-9611099/Jengka) atau Puan Siti Aizah Yahya (011-58525214), Puan Mimi-Syam Sungit (013-9644564/Kuala Sentul), Puan Hanida Mansor (019-9131562/Luit) dan Puan Norlsiah Idris (013-9988850/Chenor). -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram