WARGA EMAS DITEMUI RENTUNG DALAM KERETA

KUANTAN, 28 NOVEMBER 2020: Seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di kawasan tempat letak kereta di Teluk Cempedak hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mayat mangsa ditemui di bahagian hadapan tempat duduk pemandu dalam kebakaran melibatkan kereta jenis Proton Iswara Aeroback awal pagi ini.

“Pihak polis menerima panggilan 999 pada 6.34 pagi mengenai satu kejadian kebakaran sebuah kereta yang hangus terbakar 100 peratus berhampiran jambatan kawasan parkir Uptown Teluk Cempedak.

“Hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menemui dompet dan sekeping nota yang diletakkan di bawah topi berwarna hitam disebelah kanan kenderaan dengan jarak dua meter dari kenderaan mangsa.

“Hasil siasatan awal dan maklumat yang diperolehi dari anak mangsa, mangsa dikenalpasti sebagai Teh Bee Yen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa menghadapi masalah kesihatan dipercayai kanser prostat dan sedang menjalani ujian perubatan selanjutnya.

“Mangsa juga dimaklumkan menghadapi kemurungan sejak mengetahui laporan kesihatan tersebut dan sukar untuk tidur.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan pihak polis mendapati tiada unsur jenayah setakat ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download