Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS , 19 DISEMBER 2020 : “Rumah baharu ini selesa sangat, tak payah dah Wan risau jatuh pasal lantai licin sebab atap bocor musim hujan sekarang,” ujar seorang penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Daerah Lipis dari Kampung Tanjung Jambu.
Menurut Puan Sapiah Idris yang lebih mesra menggelarkan dirinya Wan, 82, dia sangat berterima kasih kepada Kerajaan Pahang yang membina sebuah rumah baharu kepada keluarganya memandangkan rumah sebelum ini telah sangat daif.
“Rumah lama dulu atap dah bocor, jadi bila hujan, lantai jadi licin. Berapa kali dah Wan dan Tok Wan (suaminya) jatuh terlentang.
“Ini bila dapat rumah baharu, rasa bersyukur dan seronok sangat. Wan tak sangka akan dapat rumah cantik macam ni. Terima kasih banyak-banyak untuk Menteri Besar sebab bagi Wan rumah ni,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunci rumah RRP.
Seramai tujuh orang penerima kunci rumah RRP yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda yang mewakili Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pelancaran Projek Perumahan Makmur Tanjung Jambu dan Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang Daerah Lipis di Kampung Tanjung Jambu , di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Setiausaha Bahagian (Bahagian Perumahan), YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman; Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long; ADN Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Sementara itu, seorang lagi penerima RRP, Encik Mohd Salleh Aman, 65, berkata dia sangat gembira kerana menjadi penerima RRP di Kampung Kuala Lentang.
“Rumah yang lama dulu, jauh dari orang dalam dua kilometer baru ada rumah orang lain, jadi takut sebab saya tinggal seorang sahaja.
“Rumah baharu ini bukan sahaja selesa tapi yang penting dekat dengan orang lain. Rasa lega dan seronok, bukan apa, kalau jadi apa-apa sekurang-kurangnya ada orang dekat dengan rumah dan orang tahu,” katanya. -PAHANGMEDIA
904 total views, 6 views today