Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Rahim Muda (kanan) melihat sebuah kereta yang disita dipercayai menjadi tempat pembiakan nyamuk di Sungai Isap di Kuantan.

WABAK DENGGI: RUMAH KOSONG BOLEH DILUCUTKAN HAK

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 2 JUN 2020: Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh melupuskan hak rumah-rumah kosong yang ditinggalkan di kawasan perumahan terutamanya yang menjadi kawasan wabak kes demam denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Rahim Muda berkata, jika mengikut Akta Kerajaan Tempatan, mana-mana rumah yang ditinggalkan dan dibiarkan kosong boleh dilupuskan hak.

“Bagaimanapun, ia mestilah mengikut proses undang-undang termasuk PBT perlu mengeluarkan notis, mengenakan kompaun sebelum mengambil tindakan mahkamah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Rahim Muda.

“Kita tidak mahu rumah-rumah kosong ini menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes seperti di Sungai Isap,” katanya dalam sidang media pada Program Task Force Denggi Daerah Kuantan di Sungai Isap di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, di Sungai Isap sahaja pihaknya mengesan sebanyak 24 rumah kosong yang berpontensi menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Sementara itu, beliau berkata, tujuan Task Force Denggi diwujudkan adalah untuk merancang dan melaksanakan aktiviti program pencegahan wabak denggi serta mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap segelintir masyarakat yang mengambil mudah pencegahan denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Rahim Muda (kanan) melihat rumah kosong
yang dipercayai menjadi tempat pembiakan nyamuk di Sungai Isap di Kuantan.

“Task Force ini terdiri daripada Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (Unified Enforcement), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Alam Flora dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

“Pelaksanaan Task Force ini dilaksanakan berikutan kes denggi di Pahang yang agak serius berbanding tahun 2019. Di Sungai Isap pula mencatatkan kes lokaliti berulang dan wabak walaupun banyak program pencegahan denggi telah dijalankan sejak awal 2020,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: