Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah bersama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika mendengar taklimat di PIK Kampung Pandan.

USAHAWAN KEREPEK PISANG RAIH PENDAPATAN RM4,000 SEBULAN GUNA KEMUDAHAN DI PUSAT INTERNET KOMUNITI

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 10 FEBRUARI 2021: Seorang usahawan kerepek pisang di Kampung Pandan di sini berjaya meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan selepas mempelajari teknik promosi dan pemasaran produk perniagaan online di Pusat Internet Komuniti (PIK) Kampung Pandan di sini.

Menurut Cik Nur Syahida Husna Mazlan, 30, beliau mula menjadi ahli di PIK Kampung Pandan sejak tahun lalu sebelum diajar cara pemasaran menggunakan media sosial dan aplikasi Shopee.

Katanya, jika sebelum ini pendapatan bersih berniaga kerepek pisang yang dijalankan secara offline hanya sebanyak RM2,000 sebulan namun selepas belajar cara pemasaran online pendapatan bersihnya bertambah sehingga RM4,000 sebulan.

“Terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana adanya pusat internet ini, perniagaan saya cepat dikenali oleh masyarakat malah di seluruh negara.

“Dengan adanya pusat ini membolehkan saya dibimbing untuk menggunakan
kelebihan media online dengan sebaik mungkin untuk manfaat menjana pendapatan perniagaan makanan yang saya usahakan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.

Sebelum itu, PIK Kampung Pandan menerima kunjungan Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Pengerusi SKMM, YBRS. Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Pengarah SKMM Pahang, Tuan Haji Zahari Ismail.

Cik Nur Syahida Husna berkata, sebelum ini beliau tidak menggunakan media online untuk mempromosi perniagaannya itu dan pewujudan pusat internet ini telah menambah pengetahuannya untuk mengembangkan perniagaan.

Cik Nur Syahida Husna Mazlan, 30, menunjukkan produk yang dijual olehnya yang dibantu oleh PIK Kampung Pandan.

Sementara itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, beliau dimaklumkan
seramai 74 orang usahawan online telah dilatih oleh PIK Kampung Pandan ini sejak ia dibuka pada Ogos 2010.

“Mereka merupakan penduduk kampung yang berniaga secara kecil-kecilan dan
menjadi ahli PIK. Mereka telah diberi bimbingan teknologi maklumat melalui
penggunaan media sosial termasuk mempelajari cara mengedit video dan foto serta melakukan promosi secara online dengan lebih berkesan.

“Saya yakin lebih ramai usahawan online akan berjaya dilahirkan dari PIK di seluruh
Negeri Pahang. Ini membuktikan usaha Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar,
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Kerajaan Pusat melalui
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya mereka di kawasan pedalaman seperti peniaga-peniaga kecil,” katanya. PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download