Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ditemani Pengurus Besar TM Pahang, YH Dato' Zulfikri Hashim dan Pengarah SKMM Pahang, Tuan Haji Mohd Faisal Md Nor meninjau Unit ‘Fiber Distribution Cabinet - FDC' milik Telekom Malaysia (TM) di Kerdau yang dapat memberi perkhidmatan UNIFI akses kepada internet yang lebih pantas dan stabil.

USAHA DIPERGIATKAN TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN INTERNET DI KERDAU DAN JENDERAK

Oleh: Mahathir Ali

KUALA KRAU, 4 OGOS 2021: Melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan secara bersama antara Kerajaan Pahang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), usaha bagi menambah baik liputan dan perkhidmatan internet di negeri ini terus dipergiatkan.

Ini juga termasuk usaha menambah baik perkhidmatan internet supaya lebih baik di kawasan Dewan Negeri Kerdau dan Dewan Negeri Jenderak.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, antara usaha tambah baik liputan internet di Dewan Negeri Kerdau termasuk kerja naik taraf jalur lebar tetap yang melibatkan pertukaran rangkaian berasaskan tembagakepada rangkaian gentian optik bagi membolehkan internet berkelajuan tinggi dapat disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bergambar bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Jenderak YB. Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar selepas beliau memberikan penerangan berkenaan inisiatif JENDELA yang dilaksanakan di Jenderak.

“Ini akan melibatkan kerja naik taraf rangkaian di 267 premis di sekitar Kerdau. Beberapa naik taraf seperti di Kampung Kelibang, Kampung Desa Murni, Taman Sri Makmur Kerdau, Kampung Ketam, Kampung Peragap dan Kampung Sri Ketumbit telah siap manakala kerja-kerja naik taraf di beberapa kawasan lain juga sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada bulan Nov 2021 ini.

“Bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih, sebanyak tiga menara baharu telah dirancang untuk dibina bermula September ini dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2022. Dalam usaha yang sama, kerja-kerja naik taraf stesen pemancar juga telah dirancang dimana sebanyak 15 stesen pemancar di Kerdau akan di naik taraf bagi membolehkan rangkaian 4G disediakan.

“Kerja-kerja ini akan bermula pada Ogos 2021 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada Suku Pertama tahun 2022. Ia juga membolehkan penduduk yang sebelum ini melanggan talian Streamyx beralih kepada UNIFI yang memberikan akses kepada internet yang lebih pantas dan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Dewan Negeri Kerdau dan Jenderak bersama pihak MCMC Pahang dan Telekom Malaysia (TM) dan telah berjumpa dengan kepimpinan setempat termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) Jenderak, YB. Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar yang juga Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang.

Sementara itu, katanya, bagi Dewan Negeri Jenderak, sebanyak dua menara baharu akan mula dibina pada bulan September 2021 dan dijangka siap selewatnya Suku Ketiga 2022 yang terletak di Kampung Paya Luas dan Kampung Orang Asli Sungai Pasu.

“Kerajaan Pahang bersama MCMC juga sedang menaiktaraf stesen pemancar di menara sediada melibatkan 14 stesen pemancar di beberapa lokasi sekitar DN Jenderak,” jelasnya.

Sementara itu, kerja naik taraf talian tetap di Jenderak pula melibatkan sebanyak 842 premis dimana kerja-kerja naik taraf ini telahpun bermula pada Suku Pertama 2021 dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang Suku Ketiga 2022.

Antara lokasi yang terlibat adalah Pekan Kuala Krau, Kampung Paya Baru, Jalan Kampung Paya Luas, Taman Mewah, Taman Bahagia Kuala Krau, Taman Krau Indah, Kampung Kuala Mai, Kampung Masjid, Felda Jenderak Utara dan Selatan.

Dengan siapnya semua inisitiaf JENDELA ini pada penghujung tahun 2022, penduduk di Kerdau dan Jenderak dapat menikmati kemudahan internet yang lebih baik dan stabil sekaligus bakal memudahkan urusan seharian mereka termasuk dalam urusan perniagaan serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sedang menterjemah segala usaha perancangan capaian Internet di seluruh negeri ini dengan segera dan sebaik mungkin termasuk di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati jaringan internet dan komunikasi yang lebih baik di masa akan datang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download