Seorang graduan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) melakukan konvokesyen secara virtual apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

UCYP UNIVERSITI PERTAMA ANJUR KONVOKESYEN SECARA VIRTUAL

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 4 NOVEMBER 2020 : Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) merupakan universiti pertama yang mengadakan majlis konvokesyen secara virtual apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 di negara ini.

Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Haji Zainuddin berkata, upacara konvokesyen virtual tersebut disempurnakan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Katanya, UCYP menggunakan teknik suntingan super imposed gambar graduan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang diambil terlebih dahulu di Istana Negara.

Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad berkata, teknik tersebut digunapakai bagi melangsungkan majlis konvokesyen dalam norma baharu dengan menitikberatkan penjagaan keselamatan dan kesihatan semua petugas dan graduan.

“Oleh itu, untuk konvokesyen kali ini, ianya dibuat secara norma baharu dengan menjadikan asas teknologi hari ini sebagai jalan penyelesaian kepada pelaksanaan konvokesyen dan UCYP merupakan universiti yang pertama di Malaysia melaksanakan konvokesyen secara virtual,” katanya dalam satu kenyataan medianya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen virtual itu telah diadakan secara tiga sesi selama sembilan hari pada setiap hujung minggu bagi menghadkan seramai 50 graduan sahaja pada satu-satu masa.

Sementara itu, Ketua Program Majlis Konvokesyen Virtual UCYP & KYP 2020, Puan Suhaila Haji Mukhtar berkata, penularan wabak pandemik COVID-19 telah membuka mata banyak pihak supaya berfikir secara lebih kreatif dengan memanfaatkan teknologi terkini.

“Kemajuan teknologi telah memberi banyak sumbangan dalam kehidupan seharian. Antara teknik yang dipraktikkan semasa sesi konvokesyen virtual adalah penggunaan suntingan super imposed gambar graduan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang telah diambil pada 7 Oktober lalu di Istana Negara.

“Bagi gambar kesemua 376 graduan diambil ketika sesi temujanji fotografi masing-masing di Kampus Utama UCYP Tanjung Lumpur, Kuantan,” katanya.

Teknik ini bersesuaian dengan konsep adaptif dalam melaksanakan konvokesyen berkonsepkan virtual di samping membudayakan norma baharu di kalangan kakitangan dan graduan dengan menerapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error