Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), YH. Dato’ Haji Abdul Fattah Abdullah (tiga dari kanan) selepas mesyuarat Kerjasama Strategik Angkasa dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang di pejabat JAKOA Negeri Pahang, Wisma Persekutuan, di Kuantan.

TUMPU PERUSAHAAN VANILA DI KALANGAN KOPERASI ORANG ASLI

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 10 NOVEMBER 2020: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan sekurang-kurangnya tiga koperasi di kalangan masyarakat Orang Asli akan menyertai projek penanaman vanila pada tahun hadapan.

Presidennya, YH. Dato’ Haji Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha ini akan diperhalusi dan formaliti akan dibuat selewat-lewatnya pada Disember depan.

“Kita baru sahaja menubuhkan koperasi vanila Pahang jadi saya mensasarkan sekurang-kurangnya terdapat tiga koperasi Orang Asli yang menjayakan penanaman vanila pada tahun hadapan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kerjasama Strategik Angkasa dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang di pejabat JAKOA Negeri Pahang, Wisma Persekutuan, di sini, petang tadi.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), YH. Dato’ Haji Abdul Fattah Abdullah

Kunjungan hormat dan sesi perbincangan interaktif itu diadakan bersama JAKOA bagi membincangkan kerjasama strategik untuk memperkasa koperasi Orang Asli di negeri ini.

Katanya lagi, sehingga kini terdapat sebanyak 48 koperasi Orang Asli berdaftar dan melibatkan lebih 2,000 ahli.

Dalam pada itu, Dato’ Haji Abdul Fattah turut menggalakkan integrasi di antara koperasi Orang Asli dengan koperasi orang Melayu bagi memaksimakan penghasilan sesuatu produk.

Katanya, kebanyakan masyarakat Orang Asli pakar di dalam penghasilan produk seperti herba dan agro-pelancongan manakala masyarakat Melayu pula cekap dalam aktiviti pemasaran.

Justeru, integrasi koperasi di antara Orang Asli dan Melayu mampu melonjakkan produktiviti ke tahap maksima bagi memajukan koperasi bersama-sama.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta agar kerajaan menerusi Kementerian Kewangan meneliti kembali bajet yang diperuntukkan kepada pihak koperasi menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Saya berharap agar kerajaan melonggarkan syarat-syarat yang ditentukan untuk dinikmati oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya koperasi juga diiktiraf agar layak memohon melalui PKS.

“Sehingga kini, seperti yang diumumkan, hanya PKS yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sahaja yang memenuhi syarat permohonan namun koperasi juga layak kerana merupakan entiti yang memajukan perusahaan PKS di bawahnya dan saya bimbang jika ramai yang tidak layak,” katanya.

Tambah Dato’ Haji Abdul Fattah, sebelum ini koperasi turut menyumbang sebanyak RM45 billion kepada Keluar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download