Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah merasmikan Rumah Rakyat Pahang bagi Daerah Jerantut.

TUJUH PENERIMA TERIMA KUNCI RUMAH RRP DI JERANTUT

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

JERANTUT, 30 DISEMBER 2020: Seramai tujuh orang penerima di Daerah Jerantut menerima kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) dengan kos keseluruhan berjumlah RM455,000 dalam satu majlis di Dewan Tengku Azlan, Galeri Mat Kilau di Pulau Tawar, di sini, hari ini.

Tujuh penerima itu termasuklah dari kawasan Dewan Negeri (DN) Pulau Tawar, DN Damak, DN Tahan dan kawasan Parlimen Jerantut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang berkata, kesemua tujuh buah rumah RRP di Daerah Jerantut kini telah siap dibina dan sedia untuk diserahkan kepada penerima yang telah terpilih pada peringkat awal projek RRP dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah beramah mesra bersama penerima selepas penyerahan kunci Rumah Rakyat Pahang bagi Daerah Jerantut.

“Sebenarnya sejumlah 99.9 peratus RRP di Pahang telah siap cuma kita menyusun waktu untuk diserahkan kepada penerimanya dan RRP di daerah Jerantut ini terdapat keistimewaan kerana spesifikasi rumahnya lebih terkehadapan dari segi penggunaan bahan binaan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) Daerah Jerantut Tahun 2020 di Dewan Tengku Azlan, Galeri Mat Kilau di Pulau Tawar, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jerantut, YB. Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Tahan, YB. Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, ADN Damak, YB. Haji Zuridan Mohd Daud dan Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Pahang turut menyatakan rasa syukur dan berpuas hati dengan hasil pembinaan kesemua rumah tersebut dengan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuklah Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut, Pejabat Pertanian Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut membantu menyalurkan bantuan yang diperlukan oleh penerima.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah bergambar bersama penerima En. Mohamed Shafie Ismail.

Sementara itu, seorang penerima, Encik Mohamed Shafie Ismail, 65, turut menyatakan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan Kerajaan Pahang menerusi Menteri Besar, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kerana memilihnya sebagai penerima RRP bagi kawasan DN Pulau Tawar.

Beliau yang merupakan seorang pesara, selama ini telah menetap di kawasan tersebut selama lebih 60 tahun sebelum rumahnya dihempap pokok pada Mac 2020.

“Terima kasih semua kepada terlibat khususnya YAB Menteri Besar kerana membantu saya mendapatkan rumah ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah RRP miliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah ketika menanam pokok buah-buahan sumbangan Jabatan Pertanian Daerah Jerantut di perkarangan sebuah rumah RRP.

Seorang lagi penerima, Puan Sharifah Mazni Syed Mahmud, 56, berkata, sejak lebih 50 tahun menetap di Kampung Lada, dia tidak pernah terfikir akan menerima bantuan rumah tersebut.

Membesarkan dua anak kelainan upaya (OKU), Puan Sharifah Mazni mengakui, bantuan RRP yang diberikan ini merupakan pemberian terbesar daripada Kerajaan Negeri dan sangat membantunya untuk memiliki kediaman yang selesa dan selamat. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,115 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download