Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyampaikan Titah Pemasyuran Majlis Bandaraya Kuantan.

TUANKU AGONG TITAH TUMPU TINGKAT KESEJAHTERAAN RAKYAT

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali dan Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 21 FEBRUARI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Kuantan menumpukan usaha kearah peningkatan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat.

Tuanku Yang di-Pertuan Agong bertitah, penubuhan sebuah bandar raya bukanlah semata-mata pada nama, namun hendaklah menumpukan usaha ke arah kesejahteraan rakyat.

“Beta menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinannya juga Bandar Kuantan yang merupakan Ibu Negeri Pahang Darul Makmur akan dimasyhurkan sebagai sebuah bandar raya.

“Menurut catitan sejarah, Bandar Kuantan telah wujud di sekitar pertengahan kurun ke-19. Bermula dengan sistem pentadbiran bandar menerusi penubuhan Kuantan Sanitary Board pada 1 Ogos 1913, Bandar Kuantan kini terus melangkah gagah dan bakal mencipta satu lagi sejarah,” titah baginda.

YH. Dato’ Hamdan Hussin mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan di Kuantan hari ini.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan di sini hari ini.

Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin; YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Baginda juga meminta semua rakyat Pahang mendoakan semoga Bandaraya Kuantan akan menjadi sebuah bandar raya yang unggul serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.

“Maka dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, beta dengan ini mengisytiharkan bahawa Majlis Perbandaran Kuantan hendaklah mulai daripada 21 Februari 2021 bersamaan 9 Rejab 1442 Hijrah, menjadi sebuah bandar raya dan bergelar Majlis Bandaraya Kuantan.

“Beta juga dengan ini melantik Yang Hormat Dato’ Hamdan Hussin sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan. Beta juga selanjutnya merasmikan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download