Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' Abd Jalil Hassan ketika ditemuramah oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Program Bicara Pahang.

TMCO DI BEBERAPA KAWASAN DI KUANTAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 23 APRIL 2020: Polis Pahang sudah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar atau Targeted Movement Control Orders (TMCO) di beberapa kawasan di daerah ini yang disyaki berlaku penularan jangkitan wabak COVID-19.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Abd Jalil Hassan berkata, TMCO ini dibuat di Kuantan selepas melihat kepada keberkesanan kaedah yang yang pertama kali dilaksanakan di Rembau, Negeri Sembilan.

“Jadi kita ambil kaedah ini untuk dilaksanakan di beberapa kawasan di Kuantan. Dengan TMCO ini lebih tersasar kepada individu yang disyaki positif dan kontak yang terdekat dengan mereka.

“Setakat ini kita tumpu di Kuantan kerana berlaku peningkatan pesakit COVID-19 daripada dua kluster,” katanya ketika Program Bicara Pahang yang dibawa khas secara langsung oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, dengan TMCO ini akan memudahkan lagi pihak berkuasa untuk mengawal penyebaran wabak COVID-19 di satu-satu kawasan itu.

“Kita tidak perlu mengawal satu taman perumahan yang ramai penduduk, kita hanya tumpukan kepada penduduk yang lebih sedikit iaitu yang disyaki menjadi kontak kepada yang positif COVID-19.

“Cara ini amat berkesan kerana kita dapat membawa keluar dan mengasingkan orang ramai yang disyaki serta boleh menumpukan kepada pemulihan di kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, dengan cara ini juga akan menjimatkan kos berbanding kaedah-kaedah yang digunakan pada masa ini.

“Kita akan melaksanakan TMCO ini jika didapati di satu-satu kawasan itu disyaki ada kluster baru berlaku,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download