TM Jangka Tingkat Liputan Unifi Di Raub

Oleh Ain Nadhirah Basha

KUANTAN : Telekom Malaysia Berhad (TM) dijangka meningkatkan liputan perkhidmatan jalur lebar Unifi sehingga 70 peratus di kawasan berpenduduk di daerah Raub.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, peningkatan ini hasil daripada penaiktarafan infrastuktur di daerah itu.

“Mengikut perancangan awal, lebih daripada 10 projek di taman-taman perumahan dikenal pasti akan dibekalkan dengan perkhidmatan Unifi dan perkhidmatan tersebut boleh dilanggani selewat-lewatnya pada penghujung suku pertama tahun hadapan.

“Untuk makluman juga, adalah dijangkakan mulai bulan Januari tahun hadapan sehingga penghujung tahun 2021, TM menjangkakan keseluruhan pelanggan streamyx sedia ada di Raub akan dinaik taraf kepada perkhidmatan Unifi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB. Encik Chow Yu Hui pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sebelum itu, YB. Encik Chow bertanyakan mengenai kawasan yang diliputi oleh Unifi setakat ini di daerah Raub.

Menurut Dato’ Mohammad Fakhruddin lagi, setakat ini, perkhidmatan jalur lebar Unifi meliputi 53 peratus kawasan berpenduduk di Raub.

“Bagaimanapun, peratusan langganan perkhidmatan Unifi daripada orang ramai berada pada kadar 40 peratus sahaja.

“Ini bermaksud masih ada lagi lebihan talian perkhidmatan yang disediakan boleh dipohon untuk langganan oleh orang ramai di kawasan tersebut,” katanya.



 30 total views,  2 views today

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *