Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika membuat tinjauan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Kuantan.

TINDAKAN TEGAS AKAN DIAMBIL KEPADA PIHAK MELANGGAR PKP

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 22 JANUARI 2021: Polis daerah ini akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, anggota polis yang bertugas akan memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai terjaga dan sekiranya ada pelanggaran pihak polis terpaksa mengambil tindakan tegas.

“Kali ini tidak ada lagi amaran, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar SOP PKP ini,” katanya ketika membuat tinjauan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Kuantan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, seramai 72 anggota akan ditempatkan di empat SJR di daerah ini dalam operasi selama 24 jam sepanjang tempoh PKP dilaksanakan di sini.

“Kuantan ada empat sekatan jalan raya (SJR) yang beroperasi selama 24 jam. Setiap satu SJR melibatkan 18 anggota yang terdiri daripada anggota PDRM dan ATM, jadi keseluruhan anggota di empat SJR berjumlah 72 anggota.

“Kita juga telah memberikan taklimat untuk memastikan mereka ini berada dalam keadaan bersedia, selamat dan dalam kelengkapan peralatan dan memastikan dalam masa yang sama setiap pemeriksaan yang dibuat mematuhi SOP yang telah dikeluarkan,” katanya.

Selain itu, beliau juga meminta orang ramai untuk tidak menyalahgunakan permit rentas daerah bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal.

“Setakat ini saya lihat kenderaan yang masuk telah bersedia dengan dokumen-dokumen yang lengkap. Saya ingin menyeru orang ramai untuk memastikan pergerakkan mereka ini dibenarkan bagi memudahkan urusan semua pihak,” katanya.

Mengulas mengenai kebenaran merentas negeri dan daerah bagi tujuan memberi bantuan kepada mangsa banjir, beliau berkata ia bergantung kepada kebenaran dan permohonan.

“Kita cadangkan mereka ini berurusan terus kepada Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di setiap daerah terlebih dahulu bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran berlaku,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download