KUANTAN, 3 JANUARI 2021: Seramai 67 orang daripada 21 keluarga libatkan daerah Maran, Rompin dan Raub dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat kediaman mereka dinaiki air selepas hujan lebat sejak kelmarin.
Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sehingga jam 10 pagi, mangsa banjir di Maran libatkan 44 mangsa daripada 13 keluarga.
Kesemua mangsa yang terdiri daripada sembilan lelaki, 18 wanita, 15 kanak kanak dan dua bayi itu dipindahkan ke PPS Balairaya Kampung Jara sejak 1 Januari lalu.
Di Rompin pula, seramai 21 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke PPR Balairaya Bukit Lepas sejak pagi tadi.
Kesemua mangsa terdiri daripada tujuh lelaki, enam wanita, tujuh kanak kanak dan seorang bayi.
Sementara di Raub pula, dua wanita dipindahkan ke Balai UMNO Kampung Batu Talam sejak pagi tadi.
Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran Facebook beliau berkata beliau telah mendapat perkhabaran beberapa kawasan di Pahang telah mula dinaiki air akibat hujan lebat beberapa hari ini.
Oleh yang demikian, beliau berharap agar semua masyarakat yang terlibat mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan pengawasan keselamatan terutamanya golongan kanak-kanak dan warga emas.
Beliau juga meminta orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.-PAHANGMEDIA
8,922 total views, 6 views today