Gambar fail

TIGA BUAH MASJID ADAKAN SOLAT JUMAAT SECARA PERCUBAAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim

KUANTAN, 15 MEI 2020: Tiga buah masjid di daerah ini diadakan Solat Jumaat secara percubaan selepas ditutup sementara sebelum ini susulun penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat bercemar duli menunaikan Solat Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman dan barisan EXCO Kerajaan Negeri Pahang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam titah diraja baginda melahirkan rasa bersyukur kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat menunaikan Solat Jumaat pada hari ini.

“Saya pasti semua jemaah di sini rindukan masjid untuk menunaikan solat berjemaah bersama-sama, bagaimanapun kita harus sama-sama faham musuh COVID-19 yang sedang kita hadapi sekarang ini tidak kelihatan.

“Langkah kerajaan menutup sementara solat berjemaah di masjid
adalah satu keharusan dalam hukum agama,” titah baginda.

KDYMM Pemangku Raja Pahang juga bersyukur kerana jumlah pesakit COVID-19 di negara semakin terkawal.

“Justeru setelah dibentangkan dengan penerangan oleh Setiausaha MUIP semalam, saya bersetuju agar kita adakan Solat Jumaat secara percubaan di tiga buah masjid di daerah Kuantan pada hari ini iaitu di Masjid Negeri, Masjid KUIPSAS dan Masjid UIAM.

“Pelaksanaan Solat Jumaat di sebuah masjid di setiap daerah lain pula akan bermula pada minggu hadapan iaitu 22 Mei 2020,” titah baginda.

Baginda juga berharap pegawai masjid yang berada di sini termasuk Kadi Daerah supaya melihat SOP yang dilaksanakan ini bagi digunakan di daerah nanti.

“Pastikan segala peraturan dan arahan diikuti demi keselamatan rakyat,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download