Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan ketika melakukan pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) di Tanjung Lumpur, Kuantan.

TIDAK MENDAFTAR MASUK KE PREMIS MERUPAKAN KESALAHAN TERTINGGI

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 25 JANUARI 2021: Tidak mendaftar masuk ke premis merupakan kesalahan tertinggi dalam pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak polis di negeri ini semalam.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, seramai 19 individu telah dikenakan tindakan kompaun oleh pihak polis kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Daripada jumlah itu, seramai sembilan individu telah dikenakan tindakan kompaun kerana tidak mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual.

“Baki sepuluh individu lagi kerana kesalahan tidak memakai pelitup muka, berniaga lebih masa dan tiada surat rentas negeri,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak lima buah premis juga telah dikenakan tindakan sama oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam pemantauan yang dilakukan.

Tambah beliau lagi, sebanyak 1,797 pemantauan telah dijalankan oleh 98 pasukan pemantauan di seluruh negeri ini.

“Pemantauan ini melibatkan 977 premis, kilang dan bank; kenderaan (602); tempat ibadah (111); tempat riadah (52); pasar awam dan pasar tani (35); terminal bas dan teksi (19) dan tapak pembinaan (1),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima sebanyak 2,348 permohonan borang permit pergerakan harian di seluruh Pahang setakat tempoh semalam sahaja.

“Daripada jumlah ini, kita meluluskan 2,263 permohonan dan bakinya iaitu 85 permohonan lagi telah di tolak. Kita juga mengadakan 34 sekatan jalan raya di seluruh Pahang dengan keseluruhan petugas adalah seramai 695 orang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download