Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang membuat pemeriksaan di sebuah pasar raya di negeri ini.

TIDAK BERLAKU PEMBELIAN PANIK, BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN MENCUKUPI

Oleh: Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 24 MEI 2021: Tidak ada pembelian panik dikesan di seluruh Pahang hasil pemantauan yang dijalankan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang di premis-premis tumpuan ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang YB. Dato’ Haji Nazri bin Ngah berkata, hasil pemantauan harian ke atas 26 buah pasaraya utama dan tujuh pasar awam yang beroperasi di seluruh Negeri Pahang mendapati, tiada berlaku pembelian panik oleh pengguna.

“Kebanyakan premis perniagaan yang diperiksa berada dalam keadaan yang tenang dengan bilangan pelanggan yang dihadkan pada suatu-suatu masa.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang YB. Dato’ Haji Nazri bin Ngah

“Status bekalan barangan keperluan di Negeri Pahang juga mencukupi walaupun berhadapan dengan sedikit kesukaran kesan daripada kawalan pergerakan yang diperketatkan.

“Bagaimanapun, penguatkuasa KPDNHEP Pahang telah mengambil tindakan pantas dalam menangani isu tersebut dengan mengarahkan pihak pembekal menyegerakan penyaluran bekalan barangan keperluan pengguna di pasaran,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, pihak KPDNHEP Pahang juga tidak menerima sebarang aduan mengenai harga dan bekalan barang-barang keperluan pengguna.

“Namun, KPDNHEP Pahang tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta-akta yang dikuatkuasakan. Tindakan tegas akan diambil bagi mendisiplinkan peniaga yang licik dan sebagai peringatan kepada peniaga-peniaga lain,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 pada 21 April yang lalu hingga kini, pihak KPDNHEP Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 4,487 premis perniagaan.

“Daripada jumlah itu sebanyak 86 kes telah dikesan melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan bernilai RM121,927.96 dan kompaun sebanyak RM9,150,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram