YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail bersama YAB. Datuk Ir. Hasni Mohammad pada Majlis Kunjung Hormat dan Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi Kepada Kontinjen Negeri Pahang Sempena SUKMA Johor 2020 di Wisma Sri Pahang di Kuantan.

TIADA PINDAAN TARIKH SUKMA 2020 DI JOHOR

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 10 MAC 2020: Tiada sebarang pindaan tarikh temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 di Johor setakat ini susulan penularan virus COVID-19 di negara ini, kata Menteri Besar Johor, YAB Datuk Ir. Haji Hasni Mohammad.

Beliau berkata berkata, setakat ini, tiada sebarang gambaran mengenai penangguhan temasya sukan berkenaan dan ia akan kekal dilangsungkan pada 11 Julai hingga 19 Julai depan.

“Pada peringkat ini, sama ada Majlis Sukan Negara (MSN) atau pihak penganjur SUKMA belum membuat sebarang gambaran tentang penangguhan dan sebagainya.

“Saya yakin dan percaya langkah-langkah menjaga keselamatan dan juga untuk memenuhi kehendak pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan akan dipenuhi sepenuhnya oleh pihak penganjur,” katanya.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail menerima cenderamata daripada YAB. Datuk Ir. Hasni Mohammad pada Majlis Kunjung Hormat dan Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi Kepada Kontinjen Negeri Pahang Sempena SUKMA Johor 2020 di Wisma Sri Pahang di Kuantan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kunjung Hormat dan Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi Kepada Kontinjen Negeri Pahang Sempena SUKMA XX Johor 2020 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Upacara penerimaan watikah berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Johari Haji Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB. Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Aziz Haji Mat Kiram.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor juga tidak mempunyai sebarang sebab untuk menangguhkan temasya sukan dwitahunan itu.

“Kita ada negeri-negeri lain yang terlibat, tetapi buat masa ini kita tak ada sebab untuk menangguhkan… Jadi ia akan dijalankan macam biasa ikut perancangan,” katanya.

Sementara itu, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang sedang dalam usaha melaksanakan pemakaian patuh syariah kepada atlet negeri ini.

“Kita telah tetapkan perkara ini dan berbincang namun setakat ini belum ada keputusan muktamad, cuma mana-mana yang boleh kita laksanakan, akan terus kita laksanakan.

“Tetapi keputusan muktamad, arahan itu belum lagi dikeluarkan. Namun demikian usaha ke arah itu sedang diusahakan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyasarkan lebih 20 emas dapat dikutip oleh kontinjen Pahang dalam temasya sukan yang akan berlangsung di tiga daerah di Johor iaitu di Johor Baharu, Kota Tinggi dan Muar. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download