TIADA PENEROKAAN ATAU LOMBONG HARAM DI HUTAN SIMPAN LAKUM

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 1 OKTOBER 2020:Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menerusi kenyataan medianya hari ini menegaskan bahawa tiada penerokaan hutan secara haram mahu pun perlombongan haram berlaku di Hutan Simpan Lakum sebagaimana dakwaan sebuah laman facebook ‘Wartawan Tua’ bertarikh 30 September 2020.

Menerusi tajuk ‘Suara rakyat dari Hutan Lanchang’ itu, Jabatan Perhutanan menjelaskan bahawa semua kenyataan tersebut adalah terbukti tidak berasas sama sekali.

Dalam kenyataan media itu juga, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang turut menjelaskan bahawa dakwaan ‘Wartawan Tua’ adalah tidak tepat ekoran tinjauan dan semakan yang telah dilakukan oleh pegawai-pegawai daripada jabatan perhutanan ke lokasi yang dimaksudkan.

Dakwaan pertama berhubung kerja-kerja pembalakan dengan menebang 14,000 ekar Hutan Simpan Lakum adalah tidak tepat kerana didapati hanya seluas 2,666.83 hektar (6,589.71 ekar) sahaja lesen pembalakan ladang hutan dikeluarkan di hutan simpan tersebut dalam tempoh 2018 hingga 2020.

Manakala dakwaan kedua pula berkaitan lombong emas haram yang berselindung di sebalik permit pembalakan dan lombong pasir juga adalah salah kerana tidak berlaku sebarang kerja perlombongan di dalam Hutan Simpan Lakum.

“Sebenarnya ialah, tiada lombong emas haram yang wujud dalam Hutan Simpan Lakum maka, tiadalah kegiatan seumpamanya yang kononnya berselindung di sebalik permit pembalakan.

“Juga mendapati, tiada permit lombong pasir dikeluarkan di Hutan Simpan Lakum yang sama,” menurut kenyataan media terbabit.

Malah, ‘Wartawan Tua’ juga turut mendakwa kononnya terdapat banyak penerokaan tanah berskala besar atas nama Musang King dan Vanilla yang tidak diketahui status halal haram.

“Inipun tidak benar kerana hakikatnya, tiada penerokaan haram yang berlaku di Hutan Simpan Lakum dan Hutan Simpan Kemasul untuk tujuan tanaman kedua-dua jenis tanaman durian Musang King dan Vanilla,” katanya.

Jabatan perhutanan sentiasa mengambil berat dalam menjalankan tugas dan amanah menjaga dan menguruskan hutan di negeri ini.

Dalam kenyataan media itu juga, pihak jabatan perhutanan turut mengalu-alukan sebarang aduan berkaitan perhutanan daripada orang ramai dilaporkan supaya siasatan dan tindakan dapat diambil dengan segera. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 83 total views

Please follow and like us:
error
error: