Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah pada wawancara eksklusif Bicara Pahang Bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

TERUS AMAL NORMA BAHARU WALAU SUDAH DIVAKSIN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 17 FEBRUARI 2021: Masyarakat masih perlu mengamalkan norma baharu walaupun selepas menerima vaksin tidak lama lagi bagi memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat diputuskan sepenuhnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah berkata, ia mengambil masa selama tiga hingga empat tahun sebelum pandemik berkenaan pulih di seluruh dunia.

“Di negera kita sendiri mengambil masa untuk penuhi sasaran 70 peratus rakyat divaksin sehingga April tahun hadapan dan jumlah itu disasar terus bertambah.

“Saya ingin ingatkan, walau dah divaksin tapi kita belum boleh jalan merata-rata. Saya mengharapkan masyarakat tidak lagi memikirkan untuk hidup dengan cara dahulu, yang penting bagaimana kita hendak adaptasi norma baharu dalam hidup kita macam sekarang,” katanya pada wawancara eksklusif Bicara Pahang Bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Sementara itu, YH Dato’ Dr Haji Bahari berkata, kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 menunjukkan perkembangan positif di negeri ini apabila kebarangkalian jangkitan menurun daripada 1:1 kepada 1:0.79.

“Kewujudan kluster baru yang bila dikesan pula bukan menunjukkan ia sukar dikawal tetapi menunjukkan kes-kes lambat disaring, jika kawasan berkenaan berisiko tinggi kita buat PKPD kerana ia lebih wajar menutup kawasan-kawasan yang berisiko tinggi daripada menutup semua kawasan,” katanya .

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

Dalam pada itu, beliau memaklumkan barisan petugas hadapan di Pahang sememangnya penat berhadapan dengan situasi COVID-19 namun mereka mampu mengatasinya dengan semangat kental yang ada.

“Pihak kami ada buat pemantauan mental pada setiap anggota kesihatan bagi melihat keadaan stress, kalau tinggi mereka akan dihantar kaunseling dan apa sahaja cara yang dapat membantu mereka.

“Bagi menangani kes COVID-19 pula, kita hantar anggota kesihatan di daerah hijau untuk membantu di kawasan kes tinggi seperti kluster Genting, penjara Bentong bagi memastikan tekanan kerja sentiasa seimbang.

“Cuma kita ada rasa bimbang kepada orang ramai yang tidak ikut SOP, risau pada pertambahan jangkitan dan pertambahan kematian berterusan jika keadaan tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata, fungsi PKRC yang diwujudkan adalah mengikut keadaan semasa dan ia akan diteruskan bagi memastikan perkhidmatan rawatan perubatan di hospital bagi penyakit-penyakit lain tidak terjejas.

“Saya berharap seluruh rakyat terutamanya di negeri Pahang terus mengikuti SOP yang ditetapkan. Jauhi 3c iaitu Crowded places, Confined spaces dan Close conversation dan terus amalkan 3W iaitu Wash, Wear dan Warn bagi memastikan usaha kita menentang pandemik ini akan menemui kejayaan pada akhirnya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download