Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan replika kunci kepada penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Pulau Keladi, Puan Nurul Suhada Ramli.

TERIMA RUMAH RRP, TIDAK PERLU LAGI MENYEWA DAN MENUMPANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 5 FEBRUARI 2021: Jika sebelum ini mereka perlu menyewa dan menumpang di rumah saudara, tetapi kini tidak lagi dengan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membela nasib rakyat sekaligus mengubah kehidupan ke arah lebih sempurna.

Bagi penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Pulau Keladi, Puan Nurul Suhada Ramli, 34, hanya rasa syukur dan gembira dapat diluahkan atas pemberian rumah bernilai RM65,000 secara percuma kepada dia sekeluarga.

“Saya bersama suami, Ahmad Zaki Mohd Habil Noor, 34, serta tiga orang anak sebelum ini tinggal di rumah sewa sebanyak dua kali. Suami bekerja di kedai perkakasan di bandar Pekan sementara saya suri rumahtangga sepenuh masa.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff melihat Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Pulau Keladi, Pekan.

“Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Bebar serta semua pihak yang prihatin dengan kehidupan rakyat yang memerlukan. Rezeki (rumah) ini benar-benar kami syukuri,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.

Penyerahan RRP disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang turut menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri kepada sembilan paorang penerima di bawah Dewan Negeri (DN) Bebar, hari ini.

Turut sama Ketua Kampung Permatang Pauh, Encik Mohd Nasrul Hakim Mat Daud, Ketua Kampung Pulau Keladi, Encik Jaafar Abd Rani serta wakil daripada Pejabat Daerah dan Tanah Pekan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan anak pokok Harum manis kepada penerima di Kampung Permatang Chicar, Encik Mohd Khudus Abd Manap.

Sementara itu, seorang lagi penerima di Kampung Permatang Chicar, Encik Mohd Khudus Abd Manap, 37, yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana dipilih sebagai penerima bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP).

Menurut pemandu van ini, dia hanya mampu menumpang teduh di rumah adiknya di Kampung Permatang Pauh kerana belum mampu memiliki rumah sendiri.

“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, YB Bebar (YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin), Ketua Kampung serta semua yang terlibat sehingga saya mampu memulakan hidup di rumah sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Pahang berada dalam keadaan stabil dan kukuh untuk terus membela nasib rakyat.

“Bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP) ini adalah salah satu bukti ekonomi Kerajaan Negeri kukuh dan mampu untuk terus membela nasib rakyatnya.

“Pelbagai projek, bantuan seperti bencana banjir, COVID-19 dan sebagainya sentiasa tersedia untuk membantu rakyat di negeri ini.

“Malah pada masa akan datang pelbagai projek lagi dapat dilaksanakan sebagaimana kata YAB Menteri Besar Pahang ‘tiada janji, tapi lihat bukti’,” katanya.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri kini mampu memastikan Pahang bergerak lebih maju dan sentiasa mampu menyediakan keselesaan kepada rakyatnya.

“Sebagai contoh, Rumah Rakyat Pahang diserahkan kepada rakyat yang tidak mampu seperti berdaftar dengan e-Kasih sekaligus meringankan beban yang ditanggung mereka selama ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download