Allahyarham Dato' Sri Abu Bakar Harun.

TERIMA KASIH KERANA MENJADI PEMIMPIN YANG ADIL

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali & Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 7 MEI 2020: Layanan adil dan baik terhadap semua rakyat di bawah jagaan Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun ketika hayatnya sentiasa dikenang oleh penduduk setempat.

Penduduk Felda Chini Timur 1, Norhazrul Kamar, 36, mengakui bahawa arwah berkeperibadian mulia dan bersedia membantu sedaya mungkin.

“Arwah bagus orangnya, mesra rakyat dan suka tolong orang tanpa mengira latar belakang politik. Saya sendiri bukan orang UMNO tapi arwah tetap bantu saya walaupun tahu saya parti lain.

“Sikap tersebut membuatkan saya rasa hormat padanya dan rapat walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza,” katanya.

Penduduk Felda Chini Timur 1, Norhazrul Kamar.

Bagi bekas Ketua Cawangan UMNO Felda Chini 3, Jaafar Ishak, 73, arwah merupakan wakil rakyat terbaik dan keistimewaannya pasti sukar dicari ganti.

“Sangat mudah berurusan dengan arwah tentang masalah yang dihadapi apatah lagi arwah juga merupakan bekas peneroka, jadi dia amat memahami.

“Kali terakhir saya jumpa arwah pada 15 Mac lepas masa kenduri kahwin penduduk kampung. Kelmarin (Selasa) pula, beliau minta saya hantar bubur lambuk yang dimasak ke rumahnya di Indera Mahkota. Saya yakin beliau makan masakan saya dan isteri cuma hari itu kami tak sempat bersua,” katanya.

Bagi anggota polis yang bertugas di Balai Polis Chini, Hanif Khamis, 34, juga mengakui arwah merupakan insan yang prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan setiap orang di tempatnya.

“Sepanjang bertugas, kita tahu arwah akan sentiasa ada di pejabatnya di Felda Chini 3 pada setiap hari Jumaat selain hari-hari lain jika ada keperluan kerja.

“Baru-baru ini arwah datang balai bagi sumbangan Ramadan kepada setiap anggota bertugas. Beliau berterima kasih dan menghargai kerja kami sebagai pihak berkuasa terutamanya perlu lebih kuat menghadapi tugasan ketika penyakit COVID melanda sehingga hari ini. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: