Cik Suriayati Suna, 18, selepas ibunya, Puan Norhayati Bedak, 48, dari Kampung Kampung Menson tersenyum selepas menerima sumbangan sebuah rumah baharu secara percuma menerusi program Rumah Rakyat Pahang (RRP).

“TERIMA KASIH ‘HADIAHKAN’ RUMAH BAHARU KEPADA KAMI SEKELUARGA”

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib dan Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

CAMERON HIGHLANDS 3 DISEMBER 2020: “Syukur, jika dahulu kami sekeluarga terpaksa tinggal di rumah buluh yang usang dan berdinding buluh tetapi kini kehidupan lebih selesa setelah menerima sumbangan rumah baharu.”

Itu luahan Cik Suriayati Suna, 18, selepas ibunya, Puan Norhayati Bedak, 48, dari Kampung Kampung Menson di sini menerima sebuah rumah baharu secara percuma menerusi program Rumah Rakyat Pahang (RRP) hari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) ketika merasmikan Majlis Penyampaian Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Menson, Cameron Highlands.

Cik Suriayati yang juga Orang Asli kaum Semai itu berkata, walaupun rumah buluh berkenaan kecil namun di situlah dia serta empat adik beradiknya dibesarkan.

Rumah buluh yang didiami keluarga Puan Norhayati Bedak, 48, sebelum ini.

“Saya dan adik memang tinggal di sini sejak kecil lagi. Rumah usang ini berdinding buluh tetapi setelah dimamah waktu, dinding dan tiangnya semakin reput.

“Paling membimbangkan sekiranya hujan, atap zink bocor dan dinding kayu banyak yang reput. Kami tidak mampu membaikinya kerana hanya bergantung gaji saya sebagai pembantu kedai makan di Tanah Rata,” katanya.

Cik Suriayati Suna, 18, dan ibunya, Puan Norhayati Bedak, 48, dari Kampung Kampung Menson di hadapan rumah baharu mereka yang dibina secara percuma menerusi program Rumah Rakyat Pahang (RRP).

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyampaian Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Menson yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Jelasnya lagi, dia mewakili keluarganya berasa amat lega dan bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu dan membina sebuah rumah baharu yang lebih selesa dan selamat.

Cik Suriayati Suna, 18.

“Terima kasih kepada Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB. Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang ‘menghadiahkan’ kami sekeluarga sebuah rumah baharu,” katanya.

Sementara itu, Penerima rumah RRP di Kampung Keledek, Lipis, Puan Haslina Jali, 45, melahirkan rasa terharu dan bersyukur kepada Kerajaan Pahang dengan pemberian rumah ini kepadanya.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (empat dari kiri) bersama penerima rumah RRP di Kampung Keledek, Lipis, Puan Haslina Jali, 45, (lima dari kiri).

“Terima kasih Menteri Besar, terima kasih Kerajaan Negeri yang membolehkan saya ada rumah sendiri setelah kehilangan suami.

“Rasa seronok kerana akhirnya saya dan empat anak kini mempunyai rumah sendiri yang selesa dan tidak lagi perlu menyewa,” katanya yang berniaga kuih kecil-kecilan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download