Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik.

TERHARU DAN GEMBIRA TERIMA BANTUAN KERAJAAN NEGERI

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 16 SEPTEMBER 2020 : Perasaan terharu dan gembira jelas terpancar di wajah Zaidah Awang selepas menerima sumbangan bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang bagi kegunaan suaminya yang sakit.

Zaidah, 51, berkata sumbangan yang diterima ini akan digunakan bagi rawatan dan keperluan suaminya, Abdul Jamil Ab Rahman, 61, yang mengalami strok otak sejak setahun lepas.

“Saya berterima kasih dan bersyukur dengan sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini. Sedikit sebanyak ia dapat menampung perbelanjaan bagi menguruskan suami yang sakit.

“Saya membelanjakan sekurang-kurangnya RM500 bagi ubatan, makanan tambahan dan keperluan suami. Paling besar adalah bagi membeli lampin pakai buang kira-kira RM300 sebulan,” katanya.

Salah seorang penerima mewakili pesakit kronik menerima sumbangan yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail.

Beliau yang merupakan seorang guru berkata suaminya memerlukan jagaan rapi kerana turut menghidap penyakit kencing manis.

“Selain daripada lampin pakai buang yang perlu ditukar setiap empat jam sekali, suami juga perlu diberikan suntikan insulin empat kali sehari.

“Jadi bantuan daripada Kerajaan Negeri ini sangatlah membantu mengurangkan perbelanjaan yang perlu ditanggung,” katanya.

Penyampaian sumbangan kepada salah seorang wakil Sekolah Agama Rakyat di Chini

Kerajaan Negeri menyumbangkan RM54,000 kepada sembilan buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA, Surau Pusat Bandar Chini, dan empat orang pesakit kronik.

Pihak Kerajaan Negeri melalui Amanah Saham Pahang (ASPA) juga menyumbangkan peralatan perubatan kepada Klinik Kesihatan Chini iaitu dua unit mesin ECG, dua unit mesin AED, dan tiga unit mesin PTS.

Kesemua sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan barisan exco Kerajaan Negeri. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download