Kakitangan kesihatan yang menerima sumbangan bungkusan makanan daripada Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI).

TERATAI SUMBANG 500 PEK MAKANAN KEPADA PERTUGAS KESIHATAN SEHINGGA 31 MAC

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 26 MAC 2020 : Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI) menyumbangkan kira-kira 500 bungkusan makanan kepada para petugas barisan hadapan di klinik dan hospital di sini bermula hari ini sehingga 31 Mac ini.

Setiausaha Kehormat TERATAI, YBhg. Datin Norziana Yusoff berkata, sumbangan ini adalah idea dan inisiatif daripada Yang DiPertua TERATAI yang juga isteri Menteri Besar Pahang, YBhg. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed untuk membantu para petugas kesihatan.

“Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban dan menggembirakan para petugas kesihatan ini selain dapat menaikkan semangat mereka yang terpaksa bekerja pada masa sekarang.

Kakitangan kesihatan menunjukkan bungkusan makanan yang disumbangkan oleh TERATAI.

“Sumbangan ini hanyalah sebahagian kecil bantuan yang dapat diberikan oleh kami di TERATAI untuk memastikan golongan petugas kesihatan ini terjaga,” katanya.

Kesemua pek makanan tengah hari dan makanan ringan serta air minuman akan dibekalkan kepada lima klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Beserah, Klinik Kesihatan Alor Akar, Klinik Kesihatan Bukit Setongkol, Klinik Kesihatan Bukit Sekilau, Klinik Kesihatan Kampung Kurnia dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bermula hari ini sehingga 31 Mac ini dengan jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM23,000.

Mengulas mengenai cadangan melanjutkan tempoh sumbangan makanan sehingga 14 April ini berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan, Datin Norziana berkata pihak TERATAI berbesar hati untuk meneruskan sumbangan makanan ini.

“Kita berharap sumbangan ini dapat diteruskan berikutan tarikh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan dan mungkin kita akan buat di klinik kesihatan lain pula.

“Di HTAA pula, kita akan tetap teruskan sumbangan ini sehingga 14 April memandangkan ia adalah pusat bagi rawatan wabak COVID-19 di sini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: