Abdullah, menceritakan perasaannya ketika mengambil anaknya, Muiz, 16, salah seorang yang dikuarantin di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) di Bukit Tinggi, semalam.

TEMPUH PERJALANAN HAMPIR 1,200 KILOMETER UNTUK BAWA PULANG ANAK DARI PUSAT KUARANTIN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

BENTONG, 07 APRIL 2020 : Kasihnya seorang ayah sanggup menempuh perjalanan hampir 1,200 kilometer bagi mengambil anaknya yang dibenarkan pulang daripada menjalani kuarantin sejak 20 Mac lalu di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) di Bukit Tinggi.

Abdullah, 63, dari pekan Kuah, Langkawi bertolak dari pekan Kuah bersama isterinya untuk mengambil anaknya, Muiz, 16, yang merupakan salah seorang daripada 99 individu yang dikuarantin kerana merupakan individu dalam siasatan (PUI) kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 di negeri ini.

Abdullah berkata dia dan isterinya bertolak dari rumah mereka di pekan Kuah pada petang Ahad lepas sebelum singgah di Kangar, Perlis terlebih dahulu untuk menyediakan persiapan bagi memulakan perjalanan ke Bukit Tinggi.

“Dari Kangar, saya dan isteri bertolak sebelum Subuh terus ke sini, dan kami sampai dalam pukul 4 petang.

“Sepanjang jalan saya ada ditahan, terutama bila nak keluar dari lebuhraya, mereka tahan dan tanya sebab. Kebetulan memang saya ada bawa surat kebenaran jadi tiada masalah,” katanya.

Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak (kanan) bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim (dua kiri) menyampaikan sumbangan dari Kerajaan Negeri kepada mereka yang dibenarkan pulang di Stesen Kuarantin Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) di Bukit Tinggi, semalam.

Menceritakan mengenai perasaannya apabila mengetahui anaknya dikuarantinkan di Bukit Tinggi ini, Abdullah mengakui tidak terkejut kerana memahami prosedur yang perlu diikuti.

“Pada mula saya dapat tahu, ada beberapa tenaga pengajar yang positif di tempat anak belajar dan anak beritahu yang dia perlu dikuarantinkan.

“Jadi hari ini dapat tahu anak dah boleh keluar dan negatif dari wabak ini, saya rasa bersyukurlah. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ada call beritahu anak dah boleh keluar, rasa legalah,” katanya.

Muiz ketika ditemui mengucapkan rasa syukur kerana dapat pulang dan disahkan negatif daripada virus COVID-19 ini.

“Alhamdulillah akhirnya dapat balik. Duduk dalam ni rasa terkurung, kena duduk dalam bilik sorang-sorang dan susah nak berhubung sebab tak ada telefon.

“Yang dikuarantinkan ini memang semuanya teringat nak balik rumah. Jadi pada orang di luar sana tolong duduk di rumah, dan janganlah melakukan aktiviti yang diluar dari kawasan rumah,” katanya yang mengakui teringin makan nasi goreng ayam air tangan ibunya sepanjang berada di stesen kuarantin ini.

Antara keluarga mula mengambil anak mereka yang dibenarkan pulang selepas dikuarantin di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) di Bukit Tinggi.

Bagi seorang lagi bapa pelajar, Rahman, 47, dari Muadzam Shah, dia mengakui merasa bimbang setelah mengetahui anaknya Razak, 16, terpaksa dikuarantin di sini.

“Bila dapat tahu anak terpaksa dikuarantinkan, saya rasa takut dan bimbang sebab virus ini boleh beri kesan yang cepat tetapi perasaan tersebut hilang bila pihak terlibat beri maklumat mengenai keadaan semasa anak yang tak ada apa-apa cuma kuarantin sahaja.

“Dan Alhamdulillah bila dah dua kali saringan, dapat keputusan negatif dan pihak pengurusan bencana telefon beritahu dah boleh ambik anak,” katanya.

Seramai 99 individu bawah siasatan (PUI) berusia 14 tahun hingga 77 tahun ditempatkan di I-KPKT Bukit Tinggi ini dan setakat semalam sebanyak 29 orang telah dibenarkan pulang setelah menunjukkan hasil ujian saringan negatif.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: