Pengerusi BN Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama-sama Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Naib Presiden UMNO, YB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob mengaminkan doa sebelum Ceramah Pemimpin Bersama Masyarakat bermula di Tapak Pasar Tani FAMA, Pusat Bandar Dara, Chini, Pekan, malam tadi.

TEMPAT LAHIR SESEORANG BUKANLAH PILIHAN INDIVIDU- SHAHRIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 28 JUN 2020 : Tempat seseorang dilahirkan bukanlah satu pilihan kepada individu terbabit tetapi takdir yang telah ditetapkan, ujar Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu berkata tempat lahir seseorang tidak akan menghapuskan sifat peribadi individu tersebut.

“Kita ni tak boleh memilih tempat kita nak dilahirkan. Dan ianya tidak bermakna jika saya dilahirkan di Pahang, saya hilang sifat sebagai orang Johor.

“Saya sebenarnya lahir di Pahang. Betul-betul IC, kad pengenalan 06. Memang lahir di Pahang, di Kuantan. Arwah ayah saya mengajar di Pekan sebelum berpindah ke Kuantan.

“Dan akhirnya banyak perkara yang bukan kita tentukan, tambah lagi dari segi takdir dan kuasa Ilahi yang menentukan di mana kita lahir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Pemimpin Bersama Masyarakat di Tapak Pasar Tani FAMA, Pusat Bandar Dara, Chini malam tadi.

Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Turut hadir, Pengerusi BN Pahang yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Saudara Shahril Hamdan; Setiausaha Agung Bersatu, Dato’ Sri Hamzah Zainudin; Yang Dipertua PAS Pekan, Abu Kassim Manaf serta Setiausaha PAS Pekan, Ahyatudin Daud.

Tan Sri Dr. Shahrir berkata tempat seseorang itu dibesarkan lebih mempengaruhi pembentukkan sifat diri individu tersebut.

“Tak guna jadi wakil rakyat, ADUN di Pahang semata-mata IC saya 06. Kerana ia akan bergantung kepada di mana pula kita membesar, sama ada dari segi politik, atau daripada sebahagian besar hidup.

“Tetapi secara takdir pula, saya menjadi Ahli Parlimen Johor Baharu, dan tentunya pada awal-awalnya ada juga menyebut macam mana orang Pahang, lahir di Pahang, (kad pengenalan) 06, boleh jadi Ahli Parlimen Johor Baharu bertanding sebagai calon Ahli Parlimen Johor Baharu pada 1988,” katanya.

Calon Barisan Nasional, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Chini N23, Encik Mohd Sharim Md. Zain merupakan anak peneroka Felda Chini 3 dilahirkan di Alor Setar, Kedah.

Beliau turut mengingatkan masyarakat Felda Chini supaya meningat kembali keadaan ekonomi masyarakat Felda selama 22 bulan pemerintahan kerajaan sebelum ini.

“Bagaimana keadaan Felda (selama) 22 bulan berbanding Felda selepas atau sebelum ini. Bagaimana keadaan peneroka, keadaan masyarakat warga Felda, sebelum pilihan raya ke-14, hinggalah kepada perubahan dan timbulnya naiknya sebuah kerajaan Perikatan Nasional.

“Adakah kita nak kembali kepada Felda di bawah pemerintahan Pakatan Harapan? Atau kita nak kembali kepada Felda seperti mana semasa Barisan Nasional?,” katanya lagi.

Beliau berkata masyarakat Felda boleh memberi isyarat kepada pengurusan Felda untuk berubah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini ini.

“Kita masih lagi boleh bagi isyarat, bagi isyarat dalam Pilhan Raya Kecil ini. Bahawa Felda itu sendiri harus berubah. Kembali balik kepada keadaan dan mengikut cita-cita yang telah diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error