Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Tanjung Gemok, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.

TANJUNG GEMOK AKAN DIBANGUNKAN SEBAGAI RANCANGAN KAWASAN KHAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

ROMPIN, 16 JULAI 2020 : Kerajaan Negeri akan membangunkan kawasan Tanjung Gemok sebagai Rancangan Kawasan Khas (RKK) untuk dijadikan hub pelancongan dan pusat perkhidmatan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata RKK Tanjung Gemok merupakan rancangan pemajuan berkepentingan khusus sebagai pembolehubah kepada sektor pelancongan, ekonomi dan aktiviti maritim.

Beliau berkata RKK Tanjung Gemok ini juga merupakan rancangan bagi saling melengkapi RKK Gugusan Pulau Tioman yang kini berada di peringkat akhir penyediaan.

“Kedudukannya ditengah laluan utama antara Johor Baharu dan Kuantan menjadikan Tanjung Gemok semakin berpotensi untuk dikunjungi oleh lebih ramai pengunjung sekiranya peranannya sebagai hub transit pelancongan dapat diperkukuhkan.

“Keadaan ini disokong dengan lokasi-lokasi tumpuan yang lain seperti Entry Point ke Pulau Tioman, Gateway ke Taman Negara Endau Rompin, dan ke Kuala Rompin dan Kuantan,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Tanjung Gemok, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Tanjung Gemok, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Daerah Rompin, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah PLANMalaysia, YBhg. Dato TPr. Mohd. Anuar Maidin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Abdul Rahim Muda; Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hassan Ariffin; Pengerusi Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Haji Hussain; Pengarah PLANMalaysia Pahang, Puan Harizah Dato’ Haji Hassan; dan Yang DiPertua Majlis Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Mohd Sidek.

Beliau berkata kedudukan Tanjung Gemok yang berada di pinggir sungai dan pantai perlu diperkukuhkan potensinya bagi memberi manfaat dan imej yang baik kepada negeri ini.

“Peranan Tanjung Gemok juga sebagai penyokong kepada Kuala Rompin yang merupakan pusat pembangunan utama yang berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan di pesisian pantai.

“Secara amnya, Tanjung Gemok berada di lokasi yang strategik dengan lokasi pinggir sungai dan pantai yang menarik sebagai imej pintu masuk utama ke negeri Pahang, maka, potensi ini perlu dioptimumkan dan diperkukuhkan supaya dapat memberi manfaat dan impak positif serta membentuk imej yang baik,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melawat gerai pameran pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Tanjung Gemok, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.

Beliau berkata program publisiti bagi RKK Tanjung Gemok ini akan berjalan selama empat minggu sehingga 31 Julai ini bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan pandangan dan cadangan bagi draf RKK ini.

“Saya menyeru kepada pihak-pihak yang berkepentingan dan sesiapa sahaja yang ingin memberi pandangan dan cadangan terhadap draf RKK supaya mengemukakan pandangan dan cadangan kepada Majlis Daerah Rompin untuk diambil tindakan selanjutnya oleh pasukan petugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah PLANMalaysia, YBhg. Dato TPr. Mohd. Anuar Maidin berkata RKK Tanjung Gemok merupakan RKK ketiga yang disediakan oleh PLANMalaysia iaitu selepas RKK Tasik Bera dan RKK Gugusan Pulau Tioman.

Tambah beliau lagi, sebanyak 122 cadangan keseluruhan projek mengikut keutamaan telah disenaraikan di dalam draf RKK Tanjung Gemok ini.

“Daripada jumlah tersebut (122), sebanyak 40 cadangan projek berbentuk ‘quick win’ untuk pelaksanaan segera yang dijangka akan memberi impak kepada pembangunan Tanjung Gemok untuk tempoh perancangan tahun 2020 dan 2021 telah dicadangkan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download