Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 20 JANUARI 2021: Masalah tanah perkuburan yang terhad di Kampung Permatang Pauh di sini dan sekitarnya bakal selesai dengan penyediaan 0.8 hektar tanah wakaf di kampung berkenaan.
Ketua Kampung Permatang Pauh, Encik Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, kerja-kerja menyiapkan jalan masuk ke kawasan perkuburan baru berkenaan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Jalan sejauh 800 meter bakal memudahkan urusan keluar masuk di tanah perkuburan yang diberi nama Tanah Perkuburan Islam Al-Hidayah ini sekaligus melancarkan urusan Fardhu Kifayah penduduk setempat.
“Kita akui tanah perkuburan sedia ada sudah hampir penuh di mana ia menempatkan jenazah dari tiga ke empat buah kampung yang terletak berhampiran di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff sempat meluangkan masa melihat persediaan tanah perkuburan berkenaan di sini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua pewakaf tanah serta Kerajaan Negeri yang meluluskan peruntukan bagi pembinaan pagar dan jalan masuk ke tanah perkuburan.
“Saya juga berharap agar pihak pengurusan kubur ini nanti dapat menjaganya dengan baik serta lebih moden dan teratur supaya susunannya dapat menjimatkan penggunaan kawasan tanah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar berkata, penggunaan tanah secara maksimum akan membantu memuatkan lebih ramai jenazah di kawasan tersebut dalam tempoh yang lebih lama.
“Kalau kawasan kubur teratur, waris datang nak cari pun senang selain suasana tampak lebih selesa dan cantik.
“Bagi memastikan tanah perkuburan berada dalam kedaan terbaik, penyelenggaraan kawasan perlu sentiasa dilakukan dan saya berharap ia dapat mencontohi kawasan terbaik yang sedia ada seterusnya menjadi contoh pula kepada kawasan perkuburan lain terutamanya di kawasan-kawasan kampung,” katanya. – PAHANGMEDIA