PEKAN, 1 JANUARI 2021: Jalan Kuantan-Segamat di kilometer 63 dan 73 ditutup berikutan kejadian tanah runtuh pada pukul 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku akibat hujan terlalu lebat dan air turun dari bukit terlalu deras.
Bagaimanapun katanya, kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa ataupun kerosakan kenderaan di lokasi kejadian.
“Kerja-kerja pembaikkan jalan dan alihan serta cucian tanah runtuh kini dalam proses dijalankan oleh pihak syarikat konsesi terlibat.
“Buat masa ini, jalan di kilometer terlibat ditutup kepada semua kenderaan dan pengguna diminta untuk menggunakan jalan alternatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pengguna dari arah Segamat boleh menggunakan Jalan Leban Chondong (Muadzam Shah) melalui Rompin-Nenasi -Pekan dan seterusnya ke Kuantan.
Bagi pengguna dari arah Gambang dan Kuantan pula, mereka boleh menggunakan Jalan Pekan-Paloh Hinai-(Bandar Pekan)-Leban Chondong (Rompin) – Muadzam Shah-Segamat. -PAHANGMEDIA
21,933 total views, 15 views today