Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 3 JANUARI 2021: Laluan Kuantan-Segamat di Kilometer 63 dan 73 yang sebelum ini terpaksa ditutup akibat tanah mendap dijangka akan dapat dibuka untuk lalulintas, petang Isnin.
Jabatan Kerja Raya Daerah Pekan dalam satu kenyataan berkata, setakat ini kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan di tapak kejadian.
“Laluan akan mula dibuka kepada lalu lintas pada 4 Januari (Isnin) sebelah petang,” kata kenyataan itu, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif sementara untuk ke Segamat, Pekan dan Kuantan.
Tambah Superintendan Mohd Razli, pengguna dari arah Segamat, laluan dilencongkan ke Jalan Leban Chondong (Muadzam Shah) untuk ke Rompin, Nenasi Pekan dan Kuantan.
“Bagi pengguna dari arah Gambang dan Kuantan pula, mereka boleh menggunakan Jalan Pekan-Paloh Hinai-(Bandar Pekan)-Leban Chondong (Rompin) – Muadzam Shah-Segamat,” katanya. – PAHANGMEDIA
3,404 total views, 9 views today