Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan YAM Tengku Puteri Lela Wangsa kepada mangsa banjir yang terkesan teruk di perumahan PPRT Al-Ayubi, Kampung Temai, Pekan.

TAKSIRAN ELAK BANTUAN MANGSA BANJIR TERCICIR

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 27 JANUARI 2021: Taksiran teliti rumah yang rosak akibat banjir oleh wakil rakyat di setiap kawasan terlibat dapat membantu mangsa daripada tercicir menerima bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perkara berkenaan telah disuarakan oleh YAB Menteri Besar Pahang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan baru-baru ini.

“Ia adalah usaha Kerajaan Negeri memberi bantuan bayaran ‘one-off’ kepada mereka yang dilanda musibah tanpa ada yang tertinggal daripada senarai yang dibuat.

“Bagi Dewan Negeri (DN) Bebar sendiri, saya sudah maklum mengenai taksiran termasuk mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan mereka yang tidak berpindah agar bantuan dapat dinikmati secara sama rata,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di DN Bebar.

Beliau menyampaikan sumbangan dari YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Hajjah Meriam Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah serta adinda-adinda beliau kepada 59 keluarga mangsa banjir yang terjejas teruk di sini.

Sumbangan berupa dapur gas, periuk nasi, toto, kain, tikar, barang kebersihan diri dan sebagainya telah diserahkan kepada 15 buah keluarga di Kampung Temai Tengah, 15 buah keluarga di Kampung Temai Hilir, 15 buah keluarga di Kampung Temai Hulu, 13 buah keluarga di Desa Al-Ayubi dan sebuah keluarga di Kampung Acheh.

Beliau juga mengagihkan sumbangan tilam daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta sumbangan barangan makanan oleh Menteri Besar Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan YAM Tengku Puteri Lela Wangsa kepada mangsa banjir yang terkesan teruk di perumahan PPRT Al-Ayubi, Kampung Temai, Pekan.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua mangsa terlibat agar berbincang sekiranya ada sebarang masalah yang timbul dan mencari jalan penyelesaian seperti yang dituntut dalam Islam.

“Janganlah kita melaporkan atau menguar-uarkan perkara yang tidak benar terutamanya di laman media sosial.

“Elak daripada mengambil tindakan sendiri yang memburukkan lagi keadaan dan memecahbelahkan silaturahim sedangkan semua pihak secara terbuka mahu mencari jalan penyelesaiannya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download