Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 12 JANUARI 2021: Taburan hujan luar jangka yang diterima di negeri ini menyebabkan beberapa daerah mengalami banjir besar termasuk di kawasan yang tidak pernah mengalami bencana tersebut.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak berkata, fakta tersebut menepis dakwaan yang mengatakan bencana banjir berlaku akibat projek pembangunan, pertanian dan pembalakan yang berleluasa.
“Pahang terima taburan hujan sebanyak 2,800 mm setahun (anggaran 200 hingga 300mm sebulan) tetapi pada 3, 4 dan 5 Januari lalu taburan hujan yang diterima selama tiga hari itu sahaja adalah sebanyak 300mm.
“Kedua, kawasan yang didakwa digondolkan, dikatakan ada projek tidak pun mengalami banjir. Sebagai contoh di Taman Negara, Jerantut sudah tentu tiada pembalakan tapi banjir besar berlaku hingga lapan hari terperangkap di situ.
Masing-masing boleh bercakap dan memberi pandangan tapi bercakaplah di atas fakta,” katanya dalam satu temubual di Radio RTM, PAHANGfm pagi tadi.
Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang berkata, taburan hujan yang banyak juga menyaksikan kawasan tidak banjir seperti di bandar Raub ditenggelami air.
“Setelah dirujuk dengan Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran didapati pada hari berkenaan (26 Disember) pada pukul 7 malam, jumlah taburan hujan di kawasan berkenaan adalah 80mm bersamaan jumlah taburan hujan untuk setahun di situ.
“Selepas diperiksa, saya dapati semua longkang dan jambatan yang ada mampu menerima 60mm hujan sejam, tapi di Raub kita terima 80mm air hujan dalam masa setengah jam. Jadi itu punca banjir berlaku,” katanya.
Sementara itu beliau menasihatkan rakyat di negeri ini agar menjaga keselamatan diri dan keluarga selain tidak menggunakan barangan elektrik yang telah tenggelam serta memastikan bekalan elektrik yang disambung dalam keadaan selamat.
“Kebersihan perlu dijaga, selepas banjir perlu basuh rumah segera bagi mengelak wabak penyakit. Kerajaan Negeri juga membeli dan mendapatkan satu juta (botol) air bersih bagi kegunaan mangsa banjir terutamanya untuk makan dan minum selain membersih perkakas rumah terutamanya berkaitan makanan dan minuman.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan SWCorp akan menjalankan kerja-kerja membantu mengutip dan melupuskan sampah banjir pasca banjir,” katanya.
Katanya lagi, mangsa yang memerlukan bantuan kerana rumah hilang atau rosak teruk akibat banjir boleh hubungi EXCO berdekatan, wakil rakyat kawasan masing- masing, ketua komuniti, pejabat daerah dan sebagainya bagi membantu mereka menyelesaikan masalah yang dialami sewajarnya. -PAHANGMEDIA
596 total views, 3 views today