Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato' Sri Haji Shahiruddin Ab.Moin menyampaikan surat tawaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada Baharuddin Osman, 64, pada Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Tawaran Projek RRP Peringkat Daerah Raub di Kampung Ulu Temau di Raub hari ini.

SYUKUR DIPILIH TERIMA RUMAH RAKYAT PAHANG

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

RAUB, 25 SEPTEMBER 2020: Tiada apa yang mampu diungkapkan oleh Baharuddin Osman, 64, selain ucapan terima kasih kepada Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, selepas menerima surat tawaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) hari ini.

Baharuddin ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ulu Temau di sini berkata, beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana dipilih menerima RRP ini berikutan rumah pusaka yang didiaminya kini sudah uzur dan reput.

Katanya, walaupun rumah berkenaan sudah uzur namun di situlah beliau serta adik beradiknya dibesarkan dan tempat dia berteduh sehingga kini.

Baharuddin Osman, 64

“Saya memang tidak mampu untuk membaiki rumah ini kerana hanya bekerja sebagai penoreh getah sahaja dan mendapat pendapatan tidak seberapa.

“Selepas dimaklumkan mendapat rumah ini, memang saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang terutamanya Menteri Besar Pahang dan kepimpinan di peringkat Dewan Negeri Dong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Tawaran Projek RRP Peringkat Daerah Raub di Kampung Ulu Temau di sini hari ini.

Baharuddin Osman, 64, penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP).

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab.Moin dan turut dihadiri Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail.

Bagi seorang lagi penerima, Roslina Rusli, 43, beliau berasa amat lega dan bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu dan membina sebuah rumah yang lebih selesa dan selamat.

“Ketika ini saya sekeluarga tinggal di kedai jahit yang disewa dan ia agak tidak selesa bagi empat orang anak saya. Namun Alhamdulilah dan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu ‘menghadiahkan’ saya sebuah rumah baharu.

Roslina Rusli, 43,

“Dengan adanya rumah baharu ini nanti akan memberi keselesaan kepada saya saya sekeluarga. Rumah baharu ini nanti akan dibina di tepi rumah ibu di Kampung Gali Hilir,” katanya.

Sementara itu, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin ketika ditemui berkata, pembinaan rumah RRP ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Pahang amat stabil dan tidak bankrap seperti tuduhan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Walaupun sebelum ini dua tahun Kerajaan Pahang menjadi pembangkang, namun kita berjaya menghadapinya malah pelbagai program dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab.Moin menyampaikan surat tawaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada Roslina Rusli, 43, pada Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Tawaran Projek RRP Peringkat Daerah Raub di Kampung Gali Hilir di Raub hari ini.

“Ini membuktikan Kerajaan Pahang pimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy terus kukuh dan stabil. InsyaAllah saya yakin selepas ini lebih banyak bantuan-bantuan akan disalurkan kepada rakyat,” katanya.

Katanya, pembinaan dua buah rumah RRP di dalam Dewan Negeri Dong akan mengambil masalag dua bulan setengah dan dijangka siap hujung November. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: