Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

SYARAT DAN TATACARA PELAKSANAAN MAJLIS AKAD NIKAH DI PAHANG DALAM TEMPOH PKP

KUANTAN, 26 APRIL 2020: Merujuk situasi semasa berkaitan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menetapkan syarat dan tatacara bagi majlis akad nikah di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keutamaan bagi mengadakan majlis akad nikah ialah kepada bakal pasangan pengantin yang telah mendapat kebenaran berkahwin (telah mendapat borang Akuan Akad) daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Beliau berkata, majlis akad nikah hanya dilaksanakan di PAID atau suatu tempat yang difikirkan sesuai oleh Al-Fadhil Kadi Daerah bertujuan bagi memastikan keselamatan, pematuhan syarat dan tatacara serta pemantauan.

Menurutnya, pemohon perlu membuat permohonan atas talian menerusi https://emunakahat.pahang.gov.my/ dengan melengkapkan Borang Permohonan Khas Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan seterusnya die-melkan ke PAID.

“PAID akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah mengenai maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang permohonan, bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan merupakan senarai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan Pesakit Dalam Pemantauan (PUS). Mana-mana pihak tersenarai sebagai PUI atau PUS tidak dibenarkan hadir ke majlis akad tersebut,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Beliau juga berkata, borang permohonan yang lengkap akan diproses oleh PAID dalam tempoh tujuh hari dan surat pemakluman kepada pemohon akan diserahkan melalui e-mel bagi menentukan tarikh dan masa majlis akad akan dilaksanakan.

Menurutnya, surat pemakluman itu perlulah dicetak oleh pemohon bagi tujuan pengesahan perjalanan hadir ke PAID.

Katanya, Kadi Daerah akan menentukan giliran tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual, yang akan disusun oleh PAID dengan mengambil kira perbincangan bersama pihak pemohon.

“Pemohon dan pihak-pihak yang terlibat dalam majlis akad perlulah melepasi dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang akan dilaksanakan di peringkat PAID seperti pemakaian penutup mulut dan hidung, melepasi ujian suhu, penggunaan cecair nyah kuman ‘hand sanitizer’, penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, patuh susun atur kedudukan majlis yang ditentukan serta membuat sanitasi tempat majlis akad,” katanya.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga menjelaskan, kehadiran mereka ke majis akad nikah itu juga perlu dihadkan tidak melebihi lapan orang dan hanya yang berkeperluan untuk hadir seperti seorang jurunikah dan dua orang saksi yang ditentukan oleh Kadi Daerah, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan seorang wali.

Beliau berkata, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 20 minit manakala semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon, dan diserahkan kepada Kadi Daerah atau wakilnya.

Menurutnya, upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali dan beberapa keping gambar majlis akad nikah tersebut akan diambil oleh PAID bagi tujuan penyediaan laporan, rekod serta kemungkinan perkara-perkara berbangkit.

“Jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, Kadi Daerah atau wakilnya dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Pahang, boleh menangguhkan majlis tersebut.

“Adalah diharapkan dengan syarat dan tatacara yang dikeluarkan ini dapat dipatuhi demi bukan sahaja kemudahan alternative kepada bakal-bakal pengantin tetapi bagi memastikan keberkesanan usaha dalam membendung wabak pandemik COVID-19,” katanya.- PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download