Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang, En. Sharudin Hamid.

SWCORP HASRAT JALIN KERJASAMA DENGAN PBT ATASI LAMBAKAN KULIT DURIAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali

KUANTAN, 17 JULAI 2020: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang berhasrat menjalin kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri ini bagi mewujudkan kesedaran di kalangan peniaga khsusnya peniaga buah-buahan.

Pengarahnya, En. Sharudin Hamid berkata, kerjasama perlu diwujudkan bagi memastikan usaha bersepadu dapat dilaksanakan dalam usaha memberikan kesedaran terhadap peniaga buah-buahan di negeri ini dalam menjaga kebersihan dan kelestarian di sekitar lokasi perniagaan mereka.

Hasrat tersebut dinyatakan selepas berita berkaitan lambakan kulit durian di daerah Bentong dan Raub tular menerusi berita dan laman sosial beberapa minggu lalu.

“Ini merupakan usaha dan inisiatif SWCorp bagi memastikan isu lambakan kulit durian pada setiap musim durian, tidak akan berulang.

“Kerjasama bersama PBT ini adalah penting kerana kesannya adalah lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Perasmian Penutup Operasi Bersepadu (Ops Gempur) Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang di Kompleks Mahkamah Kuantan, di sini, semalam.

Katanya, usaha sama bersama PBT di setiap daerah telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di seluruh daerah Kuantan.

Menerusi kerjasama tersebut, para peniaga dikenakan syarat melantik kontraktor bagi mengangkut kulit durian bagi memastikan kebersihan dan tiada lambakan kulit durian di lokasi perniagaan.

Lambakan kulit durian terbabit bukan sahaja mencemar kebersihan malah turut mengganggu pemandangan kerana kebanyakan lokasi perniagaan adalah di bahu jalan raya.

En. Sharudin berharap, hasrat mewujudkan usaha sama ini akan mendapat kerjasama yang baik daripada PBT di seluruh negeri ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error