Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad pada wawancara eksklusif Bicara Pahang Bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

SUNTIKAN VAKSIN PELUANG TERBAIK TAMATKAN COVID-19

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 16 FEBRUARI 2021: Suntikan vaksin COVID-19 yang bermula pada 26 Februari ini merupakan satu peluang terbaik untuk menamatkan belenggu pandemik pembunuh yang mengancam keselamatan manusia sejagat.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad berkata, program suntikan vaksin ini akan dilaksanakan secara tiga fasa dalam tempoh satu tahun bermula dengan petugas barisan hadapan melalui jabatan dan agensi masing-masing.

“Program suntikan tersebut akan diikuti dengan warga emas serta mereka berpenyakit kronik dalam fasa dua dan seterusnya kepada lain-lain penerima dalam fasa tiga.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad.

“Mereka akan menerima jemputan melalui pos sekitar bulan Mac nanti dan jika tidak menerimanya (jemputan), mereka boleh mendaftar diri di klinik kesihatan berhampiran atau di pejabat kesihatan daerah mengikut iklan dan pemakluman yang akan dikeluarkan nanti,” katanya pada wawancara eksklusif Bicara Pahang Bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Memberi penjelasan lanjut, Dr Wan Abdul Rahim berkata, sebanyak dua dos vaksin Pfizer akan diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun ke atas dengan masa senggang selama 21 hari di antara dos.

“Mereka yang tidak mengambil suntikan ini masih akan menerima perlindungan jika 70 hingga 80 peratus orang di sekitar mereka menerima vaksin. Ia akan tercapai hanya dengan program suntikan secara beramai-ramai dalam tempoh yang singkat (mass vaccination program).

“Jika tak capai peratusan ini, program ini akan tidak berupaya memberi perlindungan seperti diharapkan dan peluang untuk kita menamatkan pandemik ini kembali kabur,” katanya.

Menurutnya lagi, ramai yang memikirkan mengenai kesan sampingan vaksin berkenaan namun sudah pasti ia telah dinyatakan dalam risalah produk, hasil kajian mereka sebelum memasarkan produk mereka.

“Kesan sampingan vaksin yang ditawarkan kali ini tidak ada beza dengan mana-mana vaksin yang telah kita ambil selama ini seperti vaksin meningococcal (untuk urusan umrah/haji), vaksin influenza, vaksin untuk bayi dan vaksin HPV untuk cegahan kanser pangkal rahim.

“Risiko untuk mendapat kesan sampingan ringan mungkin boleh berlaku namun kesan sampingan berat sangat-sangat jarang berlaku,” katanya.

Gambar hiasan.

Beliau turut menyampaikan nasihat terutamanya kepada rakyat di negeri ini agar memenuhi jemputan suntikan vaksin serta hadir mengikut masa dan lokasi yang dinyatakan.

“Kegagalan mematuhi masa dan tempat akan menjejaskan peluang untuk divaksin seterusnya matlamat untuk mencapai 70 hingga 80 peratus penduduk menerima vaksin tidak tercapai dan imuniti kelompok tidak terbentuk.

“Akhirnya pandemik tidak dapat ditamatkan dan penularan terus berlaku, lebih malang lagi kematian terus bertambah dan rakyat terus menjalani kehidupan dalam suasana PKP,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download