Gambar hiasan.

SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 PAHANG BERMULA AKHIR FEBRUARI

Oleh:Muhammad Shahrinnahar Abd Latib

KUANTAN, 11 FEBRUARI 2021: Program suntikan vaksin COVID-19 bagi negeri Pahang di bawah fasa 1 yang melibatkan barisan hadapan lebih 28,000 orang akan bermula akhir Februari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka terlibat ialah dalam kalangan kakitangan serta anggota Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Task Force COVID Negeri.

“Bagi fasa 2 melibatkan lebih 360,000 orang dalam kalangan mereka berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun dan ke atas, dan golongan berpenyakit kronik atau ‘comorbid’, suntikan vaksin akan bermula April ini.

“Di bawah Fasa 3 melibatkan lebih 700,000 individu 18 tahun dan ke atas pula, suntikan vaksin bagi mereka akan bermula Mei ini hinggalah Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, dengan ini dijangkakan, kesemua kira-kira 1.12 juta rakyat Pahang atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk negeri ini, bakal divaksinasikan sebagai usaha membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Jelasnya lagi, sebanyak 69 pusat suntikan sedang dikaji kesesuaiannya di seluruh negeri, antara lain melibatkan hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan jabatan serta agensi berkenaan dan jumlah pemberi suntikan atau vaksinator ialah 578 orang.

“Sehubungan itu, sukacita saya sarankan kepada semua pihak agar dapat memberi kerjasama sepenuhnya dengan mendapatkan vaksinasi COVID-19 ini menurut tatacara yang ditetapkan, demi memastikan program vaksinasi di negeri ini dapat berjalan lancar dan berkesan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download