YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail menunjukkan air Sungai Terla (kiri) dan air mineral (kanan) yang kelihatan sama jernih dan bersih.

SUNGAI ICHAT KINI BERADA PADA TAHAP TERBAIK

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali

CAMERON HIGHLANDS, 10 SEPTEMBER 2020 : Sungai Ichat kini berada pada tahap terbaik dan selamat untuk digunakan setelah berlaku pencemaran akibat penerokaan pekebun haram di sini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Sungai Ichat yang sebelum ini berada pada tahap empat iaitu sangat tercemar kini telah berada pada tahap satu.

“Hari ini saya telah dimaklumkan oleh CEO PAIP tahap pencemaran Sungai Ichat adalah pada tahap satu iaitu boleh diminum terus berbanding tahap empat sebelum ini.

“Ini satu kejayaan bagi Kerajaan Negeri kerana yang paling penting tujuan Kerajaan Negeri adalah untuk menjaga bekalan air yang membekalkan air kepada penduduk sekitar Cameron Highlands ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Lawatan Kerja YAB Menteri Besar Pahang ke Sungai Ichat dan Sungai Terla di Kuala Terla di sini hari ini.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Tuan Ramli bin Mohd Nor dan pegawai Kerajaan Negeri bergambar di Sungai Terla yang jernih di Kuala Terla, Cameron Highlands.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Mohd. Hizamri Mohd Yasin; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.

Beliau berkata ini berikutan tindakan tegas yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membendung keadaan daripada menjadi lebih buruk.

“Walaupun mendapat bantahan namun Kerajaan Negeri tetap mengambil tindakan tegas kerana kualiti air sungai ini telah tercemar dan sebelum apa-apa perkara yang lebih buruk berlaku, tindakan segera diambil.

“Tambahan pula di Cameron ini kita dapati lebih 500 hektar tanah yang telah diceroboh dan di Sungai Ichat ini sahaja lebih kurang 100 lebih hektar tanah yang di ceroboh,” katanya.

Beliau berkata kapasiti bekalan air untuk dibekalkan kepada penduduk di sini juga akan meningkat dengan keadaan Sungai Ichat kini yang telah berada dalam keadaan bersih ini.

“Kapsiti bekalan air naik kepada 50 peratus berbanding sekarang di mana jika digabungkan kedua-dua sungai ini, kita akan dapat 860 meter kiub per jam.

“Saya difahamkan Sungai Ichat telah berada pada tahap satu ini sejak lima ke enam bulan lepas dan sekarang kita nak kekalkan keadaan ini,” katanya.

Terdapat tiga loji di Cameron Highlands iaitu Terla, Brinchang, dan Habu dengan loji Terla sebagai loji terbesar di sini yang meliputi 70 peratus pengguna di Cameron Highlands. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download