Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Encik Rizal Chek Hashim ketika sidang media di Hotel Shahzan Inn hari ini.

SUMAREH DIGANTUNG LAPAN TAHUN

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 27 OKTOBER 2020: Hukuman penggantungan lapan tahun dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terhadap Mohamadou Sumareh daripada terlibat sebarang aktiviti bola sepak di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PBNP, En. Rizal Chek Hashim berkata, keputusan itu dibuat selepas PBNP meneliti dan mengkaji empat kesalahan yang dilakukan pemain tersebut.

“Hukuman dua tahun yang dikenakan bagi setiap pertuduhan ke atas Mohamadou Sumareh dijalankan secara serentak di atas empat kesalahan dilakukan, ini menjadikan tempoh penggantungan hanya berlangsung selama dua tahun,” katanya dalam sidang media di Hotel Shahzan Inn, di sini, petang tadi.

Beliau berkata, pertuduhan tersebut dilaporkan oleh PBNP dan skuad Pahang kepada jawatankuasa tatatertib ialah pemain itu melanggar artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 61 kod tatatertib dengan membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran.

“Sumareh juga melanggar artikel 6.6 kontrak pemain di mana beliau telah merujuk perkara ini terus kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tanpa merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu.

“Pemain itu turut melanggar artikel 5.1 apabila gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama pasukan bermula 3 Ogos hingga 28 Ogos lalu dan melanggar artikel sama di mana beliau gagal menghadirkan diri pada perlawanan Liga Super bertarikh 28 Ogos lalu di antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim,” katanya.

En. Rizal berkata, pemain tersebut telah diberi notis sebanyak dua kali bagi menjawab semua pertuduhan dan telah diminta hadir bagi menjawabnya namun beliau gagal berbuat demikian.

“Semua pertuduhan telah dibuat dan melalui proses notis serta pendengaran seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang PBNP.

“Keputusan ini akan dimaklumkan kepada FAM untuk dipanjangkan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Baru-baru ini, Sumareh mengumumkan menyertai kelab Thailand, Police Tero FC selepas membuat keputusan meninggalkan skuad Tok Gajah sebelum saingan Liga Malaysia bersambung. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: