Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan semua pemerintah untuk berlaku adil.
Baginda bertitah ini selari dengan pesanan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam satu hadis riwayat Bukhari berkenaan pemimpin dan tanggungjawab.
“Saya ingin memberi pesanan kepada semua yang memerintah, tidak kira pada peringkat mana pun pemerintahan kita, maka laksanakanlah keadilan kepada penyokong kita atau yang tidak menyokong kita.
“Saya mengingatkan perkara ini kerana ianya pernah dipesankan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam satu hadis riwayat Bukhari yang bermaksud, setiap kita adalah pemimpin, dan setiap daripada kita bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.
“Oleh yang demikian segala hak dan pemberian hendaklah diberikan kepada mereka yang selayaknya sekalipun mereka bukan dari kelompok yang bersama pemerintah kerana mereka juga adalah rakyat yang mempunyai hak sebagaimana kelompok yang menyokong pemerintah,” titah baginda.
Titah baginda lagi, pihak pembangkang perlu berlapang dada dalam menerima kebenaran dan kebaikan yang dibawa pihak Kerajaan.
“Dalam konteks kita sekarang, keberadaan pembangkang pula sepatutnya menjadi semak dan imbang dan bukannya setiap masa berfungsi untuk membangkang.
“Dalam keadaan tertentu, pembangkang perlu berlapang dada menerima kebenaran dan kebaikan yang dibawa oleh pihak kerajaan.
“Bersatu padu pada perkara kebenaran dan tegurlah pada perkara yang tidak benar kerana hakikatnya setiap kerajaan memerlukan pembangkang dan setiap pembangkang pula perlulah bekerjasama dengan kerajaan,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah serta Merasmikan Masjid Alor Akar di Masjid Baharu Alor Akar.
Mengiringi keberangkatan baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut berangkat, paduka-paduka anakanda, dan kerabat-kerabat bergelar.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB.
Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; barisan Exco Kerajaan Pahang; pemimpin setempat; dan ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA