Sukan Tradisi Meriahkan Moh Mengemping Dan Berkubang 2019

Oleh Ain Nadhirah Basha

PEKAN : Sukan tradisi seperti menangkap itik, pukul bantal, larian dalam paya, menggagau ikan, dan mengemping padi antara sepuluh acara yang memeriahkan program Moh Mengemping dan Berkubang 2019 di Padang Awam Kampung Padang Tua di sini hari ini.

Seramai hampir 5,000 pengunjung memeriahkan program ini yang bermula 7 pagi dan berakhir 3 petang hari ini dengan penyertaan daripada komuniti tempatan dan institusi pendidikan tinggi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Lebih menarik, program yang memasuki tahun keempat ini turut menarik penyertaan daripada 15 pelancong asing daripada Australia, Jerman dan Perancis.

Penghulu Mukim Pahang Tua, Rohaizad Abdul Aziz berkata, kesemua pelancong asing ini yang datang bercuti ke Cherating tertarik dengan program ini setelah diberitahu mengenai aktiviti yang akan dijalankan hari ini.

“Mereka bukan sahaja hadir ke program ini malah turut menyertai pertandingan seperti pukul bantal, menangkap itik dan menggagau ikan.

“Mereka turut berkongsi keseronokan apabila dapat mencuba permainan budaya ini dan berharap aktiviti ini akan diteruskan setiap tahun kerana in disifatkan menarik bagi pelancong asing untuk lebih mengenali budaya tempatan,” katanya.

Seorang peserta acara mengemping, Sasiah Harun, 66, daripada kumpulan Serai Putih yang mendapat tempat pertama pertandingan menumbuk dan membuat emping tiga tahun berturut-turut memberitahu, aktiviti menumbuk emping ini adalah tradisi yang dipelajari turun-temurun.

“Tidak ada apa-apa rahsia dalam menumbuk emping padi untuk menjadi sedap, cuma kumpulan saya cuba membuat kerja dengan kemas, tidak bersepah untuk hasil yang elok.

“Hari ini kami buat empat jenis emping iaitu emping raja, kerabu emping, serawa emping dan emping yang digaul dengan kelapa menggunakan padi yang dituai,” katanya.

Program pada hari ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.

 58 total views,  4 views today

Please follow and like us:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: