Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 5 MAC 2020: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 bagi calon sekolah di Pahang menunjukkan peningkatan prestasi yang cemerlang apabila seramai 265 calon di negeri itu mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Haji Tajuddin Bin Mohd Yunus berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.19 peratus berbanding 238 calon pada tahun 2018.
“Daripada jumlah itu, seramai lima calon mendapat semua A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding tiga calon pada 2018.
“Calon tersebut adalah M Muthu Subramaniam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib yang mencatatkan 9A+, Lim Kang Xuan dari SMK Air Putih (11A+), Choo Zhi Ying dari SMK Rompin (10A+), Wan Elisa Sofea Wan Sarif dari SMK Sains Tengku Abdullah, Raub (9A+) dan Wai Kar Men dari SMK Chung Ching, Raub (10A+),” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kecemerlangan calon SPM Pahang menunjukkan momentum berterusan berdasarkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) bermula 2015 dengan GPN 4.94 sehingga GPN, 4.71 untuk tahun lalu
“Daripada segi GPN, pencapaian calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 mata iaitu dari 4.73 mata pada tahun 2018 kepada 4.71 mata tahun lalu.
“Bagi kategori Layak Mendapat Sijil (LMS) pencapaian calon menunjukkan penurunan iaitu daripada 88.34 peratus (2018) kepada 87.92 peratus (2019) namun LMS bagi 38 sekolah mencapai 100 peratus bersamaan 19.79 peratus,” katanya.
Katanya lagi, seramai 89 Calon Berkeperluan Khas (CBK) dalam pelbagai jenis keistimewaan telah menduduki peperiksaan dan daripada jumlah tersebut, seramai lapan calon mendapat keputusan cemerlang.
“Lapan calon itu membabitkan tiga pelajar yang mengalami masalah rabun iaitu Kong Yin Ying dari SMK Tanah Putih, Kuantan; Nurul Qurratun’Ain Sidek (SMK Temin, Jerantut) dan Nur Fatin Izni Mohd Zakaria (SMK Seri Jengka).
“Tiga calon bagi kategori kurang upaya fizikal yang cemerlang ialah Rusyamimie Badrol Sham (SMK Seri Bentong), Muhammad Afiq Farhan Mohd Faizol (SMK Abdul Rahman Talib), Ahmad Aqil Ahmad Helmy (SMK Ahmad) manakala Ngui Kai Yuan (SMK Jerantut) (masalah pembelajaran) dan Amirah Mohamed Sufian (SMK Sultan Abu Bakar) (kategori kurang upaya pelbagai),” ujarnya.
Pada tahun lalu seramai 17,757 calon sekolah telah mendaftar SPM 2019 dengan 66 mata pelajaran ditawarkan dan 192 pusat peperiksaan disediakan. – PAHANGMEDIA