Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 8 MEI 2020: YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad sudah menyerahkan surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Negeri (DN) Chini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi ini.
Notis kekosongan itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Pahang, Encik Ahmad Fadzli Rohimi Suhaimi yang mewakili Pengarah SPR Pahang di Pejabat Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang kira-kira jam 11.15 pagi.
Dato’ Sri Haji Ishak berkata, pihak SPR akan menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian bagi pilihan raya kecil tersebut.
“Kerajaan Negeri perlu memaklumkan kekosongan kerusi DN kepada SPR supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) dapat diadakan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Negeri, YH. Dato’ Zamree Hamli ketika dihubungi mengesahkan menerima surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi itu daripada Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang.
“SPR akan menentukan tarikh mesyuarat khas untuk memutuskan tarikh penamaan calon, tarikh mengundi awal dan undi biasa,” katanya.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Dato’ Sri Abu Bakar Harun meninggal dunia awal pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai akibat serangan jantung.
Allahyarham menjadi ADN Chini dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut sejak Pilihanraya Umum-11 (PRU11).
Pada PRU14 lalu, Allahyarham selaku calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dengan undi sebanyak 10,027.
Pada pertembungan itu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob ketika itu.- PAHANGMEDIA