Naib Presiden UMNO, YB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob

SOP SEMASA PRK DUN CHINI BERJALAN SEPERTI DIRANCANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

PEKAN, 04 JULAI 2020 : Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini dilihat berjalan seperti yang dirancang.

Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata ini berikutan pemerhatian di beberapa pusat mengundi di sepanjang PRK DN Chini hari ini.

“Secara keseluruhannya pematuhan (SOP) telah berjalan seperti yang dirancangkan kerana yang saya lihat ada penguatkuasa daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pakai uniform dan kawal pematuhan ini.

“Saya lihat ada sedia hand sanitizers dan temperature untuk periksa suhu badan. Setiap tempat yang saya pergi ada pematuhan. SOP SPR dari segi waktu keluar mengundi seperti yang ditetapkan dipatuhi, beratur untuk mengundi juga dipatuhi dan saya percaya kita akan terus patuh dengan SOP ini,” katanya ketika ditemui di Felda Chini 3, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penerapan kebiasaan baharu dalam proses mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau berkata kebiasaan ini akan tetap diteruskan.

“Tak tahu PRU bila, tapi norma-norma baharu ini akan kita terapkan dari segi kebersihan, topeng muka dan sebagainya.

“Walau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan tapi jika budaya-budaya baharu ini jika dapat dikekalkan, InsyaAllah kita akan selamat daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada para pengundi di DN Chini yang telah melebihi jangkaan keluar mengundi hari ini.

“Pengundi di sini tahu menggunakan hak mereka sebagai pengundi. (Jumlah keluar mengundi) Lebih daripada 50 peratus dianggap baik kerana kita bimbang pengundi luar tak balik. Takut mereka rasa tak perlu untuk balik. Walau kita jangka 65 peratus kerana kita bimbang pengundi luar tidak balik mengundi.

“Kita takut juga sebab SOP yang ketat. Saya sendiri pun tak dibenarkan untuk mendekati tempat mengundi. Dan saya kira ini satu halangan untuk pengundi dan kita takut ini sebabkan pengundi tak nak mengundi,” katanya.

Untuk rekod, jumlah pengundi yang keluar mengundi pada PRK Chini setakat jam 4 petang adalah sebanyak 72 peratus menurut SPR.

Seramai 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa terlibat dengan PRK Chini ini di 13 pusat mengundi di 65 saluran. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download